Skip to main content

Malaysia

Pulau Pinang teliti kesesuaian bekerja dari rumah susulan krisis tenaga global

61769860455_ChowKonYeow.jpg
Chow menjelaskan bahawa buat masa ini sasaran pelaksanaan BDR hanya melibatkan agensi di bawah pentadbiran Persekutuan sahaja. - Gambar fail

NIBONG TEBAL: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneliti kesesuaian pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam negeri dalam mesyuarat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada Rabu ini.

​Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata langkah itu susulan pengumuman garis panduan BDR oleh kerajaan Persekutuan serta Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bagi mendepani impak krisis tenaga global ekoran konflik di Asia Barat.

​Chow, yang hadir bersama Setiausaha Kerajaan Negeri ke mesyuarat berkenaan, menjelaskan bahawa buat masa ini sasaran pelaksanaan BDR hanya melibatkan agensi di bawah pentadbiran Persekutuan sahaja.

“Kita akan turut bincangkan perkara tersebut pada Rabu ini untuk melihat sejauh mana kesesuaiannya dilaksanakan di peringkat negeri.

“Jika diputuskan untuk diterima, kerajaan negeri mungkin akan mewujudkan garis panduan tambahan bagi mengenal pasti skop serta bahagian mana yang akan terlibat dalam pelaksanaan ini,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.

​Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Ladang Solar Berskala Besar 5 (LSS5) Byram di sini hari ini. 

Must Watch Video