Skip to main content

Malaysia

Kerajaan nafi hantar 329,000 tong diesel ke Filipina, jangan buat spekulasi - MTEN

PH bolsters supply with 329K barrels of diesel from Malaysia
Laporan yang tular di media sosial itu mendakwa, penghantaran berjumlah lebih 52 juta liter berkenaan dibuat susulan Filipina berdepan bekalan bahan api akibat kesan konflik di Asia Barat.

KUALA LUMPUR: Pasukan Pengurusan Krisis di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menafikan laporan media Filipina yang mendakwa Malaysia menghantar 329,000 tong diesel ke negara itu.

Menerusi kenyataan MTEN pada Sabtu, semakan awal mengesahkan diesel berkenaan bukan berasal dari Malaysia.

“Kerajaan mengambil maklum laporan media Filipina mengenai penghantaran 329,000 tong diesel dari Malaysia.

“Semakan awal mengesahkan diesel tersebut bukan berasal daripada Malaysia,” katanya.

Jelas kenyataan itu, orang ramai perlu merujuk kepada sumber rasmi kerajaan dan tidak membuat sebarang spekulasi.

Laporan yang tular di media sosial itu mendakwa, penghantaran berjumlah lebih 52 juta liter berkenaan dibuat susulan Filipina berdepan bekalan bahan api akibat kesan konflik di Asia Barat.

Laporan itu menyebut, Setiausaha Tenaga Filipina, Sharon Garin memaklumkan, penghantaran itu merupakan sebahagian langkah kerajaan mereka untuk memastikan bekalan tenaga kekal stabil.

Dakwa laporan itu, ketibaan terkini diesel yang diperoleh Filipina itu menyusul selepas penghantaran pertama sebanyak 142,000 tong atau 22.578 juta liter dari Jepun pada 26 Mac lalu.

“Ini selaras dengan arahan Presiden Ferdinand Marcos Jr di bawah Perintah Eksekutif 110 bagi memastikan bekalan minyak yang stabil dan mencukupi dalam keadaan ketidaktentuan pasaran luar yang meningkat,” tambah laporan itu.

Must Watch Video