KUALA LUMPUR: Industri insurans dan takaful Malaysia dijangka dapat menangani sebarang jurang struktur menerusi pelaksanaan fasa rintis inisiatif Insurans Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang dijadual pada separuh kedua 2026.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata beliau sendiri optimis mengenai inisiatif itu yang dilihat menjadi langkah penting dalam usaha kemajuan negara.
"Semua telah disediakan bagi fasa rintis itu dan setakat ini persiapan berjalan lancar dan saya turut menaruh harapan tinggi mengenainya.
“Apabila bermula kelak, kita dapat (mengenal pasti dan) menangani apa juga cabaran yang timbul,” katanya kepada media di luar acara Monie Fest 2026 pada Sabtu.
Monie Fest 2026 yang diwujudkan bersama oleh Foodie Media Bhd dan Spire Digital Sdn Bhd, merupakan festival gaya hidup kewangan berskala besar yang menumpukan aspek kewangan, pelaburan, perbankan dan keputusan berkaitan saban hari.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Liew berkata Kementerian Kesihatan (MoH), Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah bekerjasama melancarkan strategi atau pendekatan RESET iaitu usaha menyeluruh negara untuk menangani punca sebenar inflasi perubatan.
Di bawah RESET, pelan MHIT asas bermula pada 2027 dan beliau berharap rakyat dapat memberi sokongan padu dalam usaha pembaharuan sektor penjagaan kesihatan.
“Pelan insurans ini akan mengetengahkan ciri pembayaran bersama bagi mengawal selia tingkah laku hospital swasta : pemegang polisi akan membayar kadar pembayaran bersama lebih rendah apabila mendapat rawatan di fasiliti kesihatan yang mengenakan caj sederhana serta telus dari segi fi manakala fasiliti yang mengenakan caj premium akan menyebabkan pembayaran bersama lebih tinggi.
“Tidak harus wujud sebarang tolak ansur dalam soal kualiti penjagaan kesihatan untuk kedua-dua kategori. Istilah tentatif ialah Hospital Tahap 1 (tingkah laku baik) dan Tahap 2 (premium dan mahal),” katanya.
Pada Januari 2026, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah berkata BNM akan memperkukuh keperluan pengawalseliaan bagi semua produk MHIT susulan pengenalan pelan MHIT asas diseragamkan, bertujuan menambah baik perlindungan pengguna serta memastikan kemampanan premium jangka panjang.
Pelan MHIT asas yang akan ditawarkan secara sukarela, dijadual untuk pelaksanaan rintis pada separuh kedua 2026 dengan pelancaran penuh disasarkan pada awal 2027.
-- BERNAMA