Skip to main content

Malaysia

PPMM tidak terlibat dalam kes penipuan badal haji, umrah

logo Persatuan Pelajar Malaysia Mekah Jeddah - PPMJ
PPMM menasihatkan umat Islam agar memastikan agensi pelaksana berdaftar secara rasmi dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sebelum menyerahkan amanah ibadah. - Foto FB PPMM

MEKAH: Persatuan Pelajar Malaysia Mekah (PPMM) menegaskan bahawa pelajar Malaysia di Arab Saudi tidak terlibat dan tidak mewakili mana-mana pihak dalam peningkatan kes penipuan berkaitan badal haji, umrah, qurban, aqiqah dan agihan makanan yang ditawarkan pada harga terlalu murah.

Dalam satu kenyataan hari ini, PPMM menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang mempergunakan nama pelajar atau penduduk tempatan kononnya bagi melaksanakan ibadah berkenaan, sedangkan kebanyakan tawaran itu bercanggah dengan peraturan semasa kerajaan Arab Saudi dan boleh menjejaskan kesahihan ibadah.

Menurut kenyataan itu, terdapat individu yang mendakwa menggunakan khidmat penduduk tempatan atau petugas haji bagi melaksanakan badal haji di Arafah. Bagaimanapun, peraturan semasa Arab Saudi melarang petugas haji memakai ihram dan memasuki Masjidilharam ketika sedang bertugas.

“Sekiranya mereka didapati melanggar peraturan ini, mereka boleh dikenakan tindakan seperti denda atau dihantar pulang oleh pihak berkuasa Arab Saudi,” menurut kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, PPMM menasihatkan umat Islam agar memastikan agensi pelaksana berdaftar secara rasmi dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sebelum menyerahkan amanah ibadah.

Selain itu, orang ramai juga disaran menggunakan platform rasmi yang diiktiraf kerajaan Arab Saudi seperti Tawkeel dan Adahi bagi urusan badal haji, qurban serta aqiqah.

PPMM turut menjelaskan bahawa kos minimum permit haji bagi penduduk Mekah dan kawasan sekitarnya bermula sekitar SAR9,000, tidak termasuk kos sara hidup pelaksana. Sementara itu, kos sembelihan qurban dan aqiqah melalui pusat sembelihan rasmi kerajaan Arab Saudi bermula sekitar SAR720.

Menurut persatuan itu lagi, tawaran harga terlalu murah boleh menimbulkan keraguan terhadap kesahihan pelaksanaan ibadah termasuk kemungkinan penggunaan satu nama bagi menggantikan beberapa individu dalam badal haji.

Dalam kenyataan sama, PPMM mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi garis panduan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi bagi memastikan kemudahan visa serta hak jemaah Malaysia terus terpelihara.

Must Watch Video