KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad melancarkan Koleksi Setem Khas Burung Bayan Malaysia bagi mengetengahkan keindahan spesies burung bayan tempatan serta menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar negara.
Koleksi setem khas itu dihasilkan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia sebagai cerminan komitmen bersama dalam memelihara warisan semula jadi dan keseimbangan ekologi untuk generasi akan datang.
Pos Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan burung bayan memainkan peranan penting dalam ekosistem menerusi penyebaran benih dan pemulihan hutan, selain dihargai kerana kebijaksanaan serta keindahan bulunya.
Menurut kenyataan itu, koleksi berkenaan menampilkan dua rekaan setem ilustrasi bersama helaian kecil (miniature sheet) dengan kemasan cetakan potong acuan (die-cut) yang menyerupai siluet semula jadi burung bayan.
“Tiga spesies yang diketengahkan ialah Bayan Nuri (Psittacula longicauda) yang berstatus Rentan (VU), Bayan Puling (Psittinus cyanurus) berstatus Hampir Terancam (NT) dan Bayan Serindit (Loriculus galgulus) berstatus Kurang Membimbangkan (LC) dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
“Bayan Nuri dan Bayan Puling dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], manakala Bayan Serindit turut dilindungi di bawah akta yang sama,” menurut kenyataan itu.
Pos Malaysia memaklumkan set folder Burung Bayan Malaysia dijual pada harga RM66.30 dan merangkumi dua rekaan setem bernilai RM1 dan RM1.30, helaian kecil, Sampul Hari Pertama (First Day Cover) bersama setem, Sampul Hari Pertama kedua bersama helaian kecil serta folder eksklusif untuk pengumpul filateli.
Koleksi setem itu akan mula dijual pada 31 Mei ini bersempena dengan Hari Burung Bayan Sedunia di 90 Biro Filateli di seluruh negara termasuk 13 Pejabat Pos Besar, selain pejabat pos terpilih dan kedai dalam talian Pos Malaysia, selagi stok masih ada.
Pos Malaysia turut bekerjasama dengan beberapa taman burung terpilih untuk mengadakan jualan hari pertama koleksi berkenaan di Taman Burung Kuala Lumpur dan Taman Burung Pulau Pinang pada 31 Mei serta Taman Hidupan Liar Langkawi pada 3 Jun ini.
-- BERNAMA