SEREMBAN: Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung satu video tular memaparkan sebuah kereta dipandu secara berbahaya melawan arus di Jalan Persiaran Utama Seremban 2 dekat sini pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata suspek berusia 34 tahun itu tampil menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada hari yang sama.
Beliau berkata wanita berasal dari Selangor itu mengaku memandu melawan arus dengan alasan tidak pernah melalui kawasan itu.
“Wanita yang memandu kereta Honda CR-V itu mengaku melawan arus dengan alasan pertama kali menggunakan laluan berkenaan.
“Suspek turut dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seremban untuk menjalani ujian saringan air kencing, namun didapati negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azahar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
-- BERNAMA