HELSINGBORG: Setiausaha Agung NATO Mark Rutte menyambut baik keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menghantar tambahan 5,000 anggota tentera ke Poland.
Beliau berkata demikian kepada pemberita menjelang mesyuarat Menteri Luar NATO, di sini.
Menurut Rutte, komandan tentera pakatan sedang memperincikan aspek teknikal penempatan tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan hala tuju jangka panjang NATO kekal tidak berubah, iaitu ke arah memperkukuh keupayaan pertahanan Eropah serta mengurangkan kebergantungan kepada AS.
Langkah itu dilihat berbeza daripada keputusan Pentagon minggu lalu yang membatalkan rancangan awal untuk menghantar kira-kira 4,000 anggota tentera ke Poland.
Keputusan terdahulu itu dilihat sebagai usaha Washington menggesa negara Eropah meningkatkan perbelanjaan pertahanan masing-masing.
Dalam pada itu, beberapa sekutu Eropah mengakui perubahan pendirian yang kerap dari Washington menyukarkan perancangan strategi pertahanan.
Menteri Luar Sweden Maria Malmer Stenergard berkata keadaan itu menimbulkan kekeliruan, namun menegaskan keperluan Eropah untuk terus melabur dalam keupayaan ketenteraan sendiri.
Pandangan tersebut turut dikongsi Menteri Luar Estonia Margus Tsahkna yang menekankan bahawa sebarang perubahan penempatan tentera AS perlu diselaraskan secara teratur dalam kalangan sekutu.