Skip to main content

Malaysia

Polis Selangor tumpas dua sindiket, rampas dadah lebih 200kg

SHAH ALAM, 11 Mac -- Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar (tengah) melihat barangan rampasan pada sidang media susulan kejayaan menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan bunga ganja lebih 200 kilogram (kg) bernilai RM14.6 juta di beberapa kawasan di negeri itu pada awal bulan ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Shazeli (tengah) melihat barangan rampasan pada sidang media susulan kejayaan menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah lebih 200 kilogram (kg) bernilai RM14.6 juta. - Foto Bernama

SHAH ALAM: Polis berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah serta merampas syabu dan bunga ganja lebih 200 kilogram (kg) bernilai RM14.6 juta hasil serbuan di beberapa lokasi di Selangor awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata bagi kes pertama, empat warga asing termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 30-an dari benua Eropah telah ditahan dalam tiga siri tangkapan bermula 3 Mac.

Beliau berkata penahanan tersebut bermula apabila seorang lelaki dipercayai keldai dadah ditahan di sebuah terminal lapangan terbang itu yang membawa kepada rampasan satu bagasi berisi 49 bungkusan plastik mengandungi daun kering disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 27.2 kg dipercayai untuk dibawa ke luar negara.

“Susulan tangkapan itu, keesokannya polis menahan seorang lagi lelaki warga asing dipercayai dalang utama di sebuah rumah sekitar Kota Warisan dan merampas satu bagasi berisi 25 bungkusan plastik mengandungi daun kering disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 14.3 kg,” katanya dalam sidang media di Bangunan Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Shazeli berkata hasil soal siasat, pihaknya kemudian menahan dua warga asing termasuk satu wanita pada 5 Mac lepas di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur dan merampas lima bagasi berisi 136 bungkusan mengandungi daun kering dipercayai bunga ganja melibatkan anggaran berat 74.8 kg.

“Kesemua individu itu mula memasuki Malaysia antara hujung Disember lepas hingga pertengahan bulan lepas dengan menggunakan pas pelancong. Mereka ini juga dipercayai daripada satu rangkaian sindiket yang sama,” katanya.

Shazeli berkata nilai rampasan dadah seberat 116.3 kg bagi kes itu dianggar berjumlah RM9.35 juta dan dipercayai untuk pasaran luar negara.

Beliau berkata bagi kes selanjutnya, dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan di sekitar Gombak pada 3 Mac lepas.

“Polis turut merampas lima bag kanvas berisi 64 bungkusan plastik bertulis ‘Daguanyin’ mengandungi dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 105.1 kg yang dijumpai di ruangan belakang sebuah van yang digunakan suspek.

“Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM5.25 juta. Sindiket ini juga telah aktif sebulan lepas dan dadah tersebut dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Shazeli berkata hasil semakan mendapati suspek warga tempatan berusia 34 tahun tersebut bekerja sebagai penghantar barangan syarikat kurier manakala warga asing berusia 47 tahun itu bekerja di sebuah kuil sekitar Batu Caves.

Kesemua suspek untuk kedua-dua kes kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.  

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video