Skip to main content

Malaysia

Polis nasihat majikan pantau tatacara pekerja bawa peralatan tajam

IPOH, 28 Mac -- Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin ketika bertemu pengamal media pada Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Aidilfitri peringkat Kontinjen Perak 2025 di Terminal Meru Raya hari ini.  -- fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Noor Hisam berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian malang kerana peralatan seperti sabit, cangkul atau parang bukan dikategorikan sebagai senjata berjadual, sekali gus membolehkan ia dibawa secara bebas bagi tujuan kegunaan harian. - Gambar Bernama

IPOH: Polis menasihati para majikan memberikan arahan tegas kepada pekerja supaya lebih berhati-hati dalam mengendalikan peralatan tajam bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian malang kerana peralatan seperti sabit, cangkul atau parang bukan dikategorikan sebagai senjata berjadual, sekali gus membolehkan ia dibawa secara bebas bagi tujuan kegunaan harian.

“Di pihak kami, kami boleh menasihati majikan ini untuk memberi arahan kepada petugas ataupun pekerja-pekerja mereka untuk lebih menjaga keselamatan diri sendiri dan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. 

“Jadi, untuk mengambil tindakan dari sudut perundangan saya rasa belum lagi sampai ke tahap itu,” katanya selepas Program Menyantuni Petugas Di Lapangan dan High Profile Policing (HPP) Walkabout Ketua Polis Perak membabitkan kira-kira 60 pegawai serta anggota di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Rabu.

Semalam, Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang terlibat dalam insiden kematian seorang pelajar di Teluk Intan, selepas terkena sabit berhulu panjang yang dibawa penunggang motosikal lain.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan Adham Faisal, 18, pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan maut selepas lehernya terkena sabit berhulu panjang ketika motosikal yang dinaikinya berselisih dengan motosikal membawa senjata itu di Batu 4, Kampung Selabak, Teluk Intan.

Rakan mangsa berusia 17 tahun bagaimanapun hanya mengalami kecederaan pada tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut. Susulan kejadian itu, polis menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Noor Hisam berkata, siasatan awal terhadap kes itu mendapati wujudnya unsur kecuaian oleh pembawa peralatan berkenaan kerana sabit kelapa sawit itu dibawa dalam keadaan yang membahayakan pihak ketiga.

“Dalam kejadian itu, kami telah pun dapat tangkap suspek dan suspek masih dalam siasatan lagi tetapi kalau dilihat memang ada unsur-unsur kecuaian oleh pekerja ladang itu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut kini dijalankan pelbagai sudut termasuk status dokumen perjalanan suspek yang juga warga asing mengikut peruntukan Akta Imigresen.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video