KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu merekodkan kerugian mencecah RM11.12 juta membabitkan 214 kes penipuan dalam talian untuk tempoh Januari hingga 15 Mac lepas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata angka itu sebahagian besar daripada keseluruhan 290 kertas siasatan jenayah komersil, yang telah dibuka Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kota Kinabalu dengan kerugian RM14.628 juta.
Beliau berkata selain penipuan dalam talian, sebanyak 46 kes melibatkan penipuan pembelian e-dagang, khususnya kenderaan yang merekodkan kerugian sebanyak RM328,888.
Mengulas taktik penipuan kenderaan itu, beliau berkata sindiket bertindak licik sebagai 'orang tengah' dengan memuat naik semula gambar kenderaan milik individu lain dalam media sosial seperti Facebook dan Mudah.my pada harga yang jauh lebih murah.
"Apabila mangsa berminat, sindiket akan berunding harga dan mengarahkan mangsa ke alamat pemilik asal untuk melihat kenderaan itu, dan pada masa sama sindiket memaklumkan kepada pemilik kenderaan sebenar bahawa mereka akan menghantar wakil (mangsa) untuk melihat keadaan kereta.
"Setelah mangsa berpuas hati melihat kenderaan itu dan bersetuju, sindiket akan meminta bayaran dibuat kepada mereka sebelum kenderaan kononnya diserahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Lot berkata selepas bayaran dibuat ke akaun sindiket, pemilik kenderaan sebenar enggan menyerahkan kereta kerana tidak menerima sebarang wang, manakala sindiket terus menghilangkan diri serta menyekat panggilan mangsa.
Hasil siasatan mendapati sindiket e-dagang itu hanya menjadi pihak ketiga dalam talian dan tidak pernah bersua muka dengan mangsa mahupun pemilik kenderaan sebenar.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang awam agar sentiasa berwaspada terhadap sindiket penipuan yang mengambil kesempatan membuat tawaran palsu urusan tempahan inap desa melalui media sosial.
Penipuan inap desa itu menyasarkan kawasan bandar dan tempat peranginan, terutama menjelang musim cuti sekolah mahupun cuti perayaan, justeru orang ramai digesa membuat semakan teliti sebelum melakukan sebarang pembayaran.
"Pihak polis menasihatkan orang awam agar jangan mudah percaya dengan iklan dalam media sosial serta tawaran harga yang terlalu murah, dan buatlah semakan pemilik kenderaan (atau perkhidmatan) sebelum membuat sebarang urus niaga," katanya.
-- BERNAMA
TAG: IPD Kota Kinabalu, penipuan, dalam talian, e-dagang, kereta, inap desa