Skip to main content

Malaysia

Polis klasifikasikan kes mayat terapung sebagai mati mengejut

51392708397_295x200.jpg
Polis mengklasifikasikan kematian Penolong Kanan Pentadbir Tanah Bahagian Pengambilan Tanah di Pejabat Tanah Daerah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany Wan  Muda yang ditemui terapung di sungai berhampiran Kampung Tajin, Hulu Terengganu sebagai mati mengejut.

Ia berdasarkan laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa yang menunjukkan tiada sebarang kesan kecederaan samada luaran atau dalaman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K.Manoharan berkata, pihaknya sedang menunggu laporan toksikologi serta sudah mengambil keterangan pelbagai pihak termasuk keluarga serta rakan mangsa.

Menurutnya, setakat ini tiada unsur mencurigakan dan pihaknya akan  berusaha melengkapkan siasatan dengan segera.

"Satu pasukan khas telah ditubuh untuk melengkapkan siasatan dengan  segera dan sebaik sahaja siasatan selesai kita akan edar kepada timbalan pendakwaraya dengan cadangan supaya satu inkues dijalankan. Buat masa sekarang kita akan lengkapkan siasatan untuk adakan satu inkues," kata beliau.

Dalam kejadian semalam, mayat  Wan Hariff Rafany Wan Muda, 35, tahun ditemui sekumpulan pemancing kira-kira  jam 10.30 pagi  terapung di sungai berhampiran Kampung Tajin, Hulu Terengganu.

Mangsa berpakaian lengkap dengan baju T berwarna jingga dan berseluar sukan.

Polis turut menemui kunci kereta jenis Audi A4 dalam poket seluar mangsa.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat isterinya, Wan Hariff dikatakan meninggalkan rumah mereka di kuarters kerajaan di Kuala Ibai di Kuala Terengganu kira kira  jam 6 pagi pada Jumaat.

Kira-kira jam 9.30 malam pada hari sama, kereta Audi A4 milik mangsa ditemui di hadapan loji Air Syarikat Air Terengganu di kampung Gaung, Kuala Berang, Hulu Terengganu .

Kereta yang berkunci dibuka  dengan bantuan ahli keluarga mangsa sebelum dibawa ke ibu pejabat  polis.

Must Watch Video