Skip to main content

Malaysia

Polis kekang penyeludupan minyak bersubsidi, perketat kawalan sempadan

SUNGAI PETANI, 12 Mac -- Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.  Polis merampas 62 kilogram (kg) dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM3.1 juta di sebuah inap desa di Kampung Permatang Rengan, Kota Kuala Muda, Selasa lepas.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata terdapat dua laluan utama di negeri berkenaan yang bersempadan dengan Thailand, iaitu di Kubang Pasu dan Padang Terap. - Gambar fail/BERNAMA

GURUN: Polis akan meningkatkan sekatan jalan raya, khususnya di kawasan sempadan dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan petrol dan diesel bersubsidi keluar dari negara ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata terdapat dua laluan utama di negeri berkenaan yang bersempadan dengan Thailand, iaitu di Kubang Pasu dan Padang Terap.

Beliau berkata keadaan semasa di Asia Barat memberi implikasi kepada ekonomi global manakala harga minyak di negara ini masih rendah berbanding negara jiran.

“Tidak mustahil akan berlaku penyeludupan, justeru kami akan mempertingkatkan penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras aktiviti itu.

“Kami juga akan memperketat kawalan di sempadan, malah bermula semalam di daerah Padang Terap, sekatan jalan raya telah diadakan dan beroperasi 24 jam,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Ops Selamat 26 sempena Aidilfitri peringkat Kedah di sini hari ini.

Adzli ketika mengulas mengenai Ops Selamat 26 yang berlangsung dari 19 hingga 24 Mac berkata dianggarkan 100,000 kenderaan akan memasuki negeri berkenaan setiap hari bagi tempoh itu.

“Begitu juga di kawasan sempadan yang dijangka mengalami peningkatan aliran trafik. Jika perlu, kami akan menggerakkan anggota dari balai berhampiran untuk menjalankan kawalan dan rondaan di lokasi terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adzli berkata sebanyak 262 daripada lebih 400 permohonan permit sementara bagi aktiviti penjualan mercun dan bunga api telah diluluskan di negeri itu.

“Polis tidak dapat meluluskan semua permohonan. Jumlah tertinggi permit dikeluarkan di Alor Setar, diikuti Kuala Muda. Pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan hanya mercun yang dibenarkan dijual seperti yang tertera dalam permit,” katanya.

Adzli ketika mengulas insiden letupan mercun di Kampung Tempoyak, Merbok dekat sini yang mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini.

“Kami telah mengambil keterangan pihak terlibat dan siasatan masih dijalankan. Jenis mercun yang digunakan mangsa serta sumber diperoleh masih menunggu hasil siasatan,” katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun putus jari telunjuk tangan kiri serta cedera pada kelopak mata kanan akibat terkena letupan mercun.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video