KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan pelarasan terhadap perbelanjaan operasi kementerian dan agensi susulan cabaran berterusan berkaitan krisis bekalan global.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata semua kementerian telah menerima makluman daripada Kementerian Kewangan berhubung langkah penyesuaian itu, yang bertujuan menyelaras program serta pelaksanaan kerajaan dalam menghadapi tekanan semasa.
“Setiap kementerian telah menerima makluman daripada Kementerian Kewangan berhubung beberapa pelarasan terhadap perbelanjaan operasi.
“Langkah ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyelaras aktiviti, program dan pelaksanaan, khususnya ketika Malaysia berdepan cabaran yang berpunca daripada krisis bekalan global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan di Angkasapuri, hari ini.
Fahmi bagaimanapun menegaskan setakat ini tiada semakan semula dibuat terhadap Bajet 2026.
Pada masa sama, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan supaya semua acara rasmi, bengkel serta program berskala besar melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilaksanakan secara sederhana sebagai langkah berhemat.
Selain itu, Fahmi memaklumkan Perdana Menteri turut menekankan keperluan penyelarasan rapi pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI di peringkat Persekutuan bagi memastikan objektif program dapat dicapai dengan lebih berkesan.
Terdahulu, Kementerian Kewangan dilaporkan mengarahkan kementerian dan agensi kerajaan mengurangkan perbelanjaan operasi susulan impak konflik di Asia Barat, dengan Pejabat Belanjawan Negara turut diminta menilai semula baki peruntukan di bawah Bajet 2026.