Skip to main content

Malaysia

Polis buru suspek cubaan ragut di Bukit Beruntung

71718803228_LogoPDRM.jpg
Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam satu kejadian cubaan ragut terhadap seorang wanita di hadapan sebuah kedai runcit di kawasan Bukit Beruntung, pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam satu kejadian cubaan ragut terhadap seorang wanita di hadapan sebuah kedai runcit di kawasan Bukit Beruntung, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 malam daripada mangsa sendiri.

Menurut beliau, wanita terbabit mendakwa rantai leher yang dipakainya telah diragut dari arah belakang ketika sedang duduk dan bercakap telefon di hadapan premis berkenaan.

“Suspek lelaki yang tidak dikenal pasti, memakai topi keledar dan jaket hitam, telah menarik tali rantai berwarna kuning yang mempunyai tiga loket keemasan sehingga terputus dan jatuh ke lantai,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna hitam yang ditunggang oleh seorang lagi individu, namun nombor pendaftaran kenderaan itu tidak dapat dipastikan.

Dalam pada itu, Ibrahim memaklumkan, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis kini sedang menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat bagi membantu siasatan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Must Watch Video