Skip to main content

Malaysia

Polis buru pemandu langgar 12 kenderaan di George Town

81740151203_PDRM.jpg
Polis sedang mengesan pemandu kereta yang melanggar 12 kenderaan lain ketika dikejar kereta peronda sejauh kira-kira 20 kilometer sebelum meloloskan diri dalam kejadian semalam. - Foto hiasan/BERNAMA

GEORGE TOWN: Polis sedang mengesan pemandu kereta yang melanggar 12 kenderaan lain ketika dikejar kereta peronda sejauh kira-kira 20 kilometer sebelum meloloskan diri dalam kejadian di sini semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata kejadian yang tular di media sosial itu bermula apabila polis mengesan sebuah kereta di Green Lane dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan ia berhenti untuk diperiksa namun pemandunya terus memecut laju menghala Persiaran Gurney.

"MPV polis terus mengejar kereta yang dipandu seorang lelaki namun suspek berjaya meloloskan diri selepas dikejar sejauh kira-kira 20 kilometer. Ketika ini usaha mengesan pemandu kereta tersebut giat dijalankan.

"Setakat ini kami menerima 12 laporan polis daripada individu terlibat yang mendakwa kenderaan mereka dilanggar oleh suspek dan mengalami pelbagai kerosakan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. 

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 43 saat memaparkan dua MPV polis mengejar sebuah kereta yang dipandu laju sehingga melanggar beberapa kenderaan di Persiaran Gurney.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video