KUALA LUMPUR: Polis sedang giat mengesan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam siri kes khianat memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa cawangan bank di sekitar Jinjang melibatkan kerugian dianggarkan RM64,000.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Basri Sagoni berkata setakat semalam, sebanyak 12 skrin mesin ATM telah dipecahkan dan lima laporan polis diterima berhubung kejadian itu yang berlaku di cawangan sebuah bank di Jinjang Selatan serta dua bank di Jinjang Utara.
Beliau berkata kejadian pertama dilaporkan pada 16 Feb lepas oleh seorang juruteknik bank selepas mendapati empat skrin mesin ATM retak semasa menjalankan kerja penyelenggaraan.
“Pada 17 Feb antara 12.24 tengah hari hingga 10.16 malam, pihak polis turut menerima empat lagi laporan polis berkaitan kejadian khianat pecahkan skrin mesin ATM, dengan dua kes di cawangan sebuah bank di Jinjang Selatan manakala masing-masing satu kes di dua bank berasingan di Jinjang Utara.
"Modus operandi suspek adalah dengan masuk ke dalam ruang kaunter bank dan terus memecahkan skrin mesin ATM menggunakan objek disyaki batu sebelum melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Basri berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek merupakan seorang lelaki berkulit cerah dengan ketinggian kira-kira 165 sentimeter serta berbadan sederhana.
"Semasa kejadian, suspek dilihat memakai kemeja lengan pendek kelabu, berseluar panjang, berselipar hitam serta memakai topi keledar berwarna biru dan menaiki motosikal jenis Honda Wave berwarna biru," katanya.
Beliau berkata tiada unsur jenayah lain seperti cubaan samun dikesan, dengan kesemua kes kini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul melalui talian 03-40482222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
-- BERNAMA