KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci berhubung kaedah penentuan harga diesel susulan trend kenaikan berterusan bahan api itu yang dijangka mencecah RM6.02 seliter di Semenanjung Malaysia.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, peningkatan mendadak daripada RM5.52 seliter sebelum ini dalam tempoh singkat berpotensi memberi tekanan besar kepada rantaian bekalan serta kos sara hidup rakyat.
Menurut beliau, keadaan itu dijangka bertambah buruk dengan kemungkinan kenaikan tarif elektrik yang bergantung kepada mekanisme pelarasan harga bahan api, sekali gus meningkatkan kos operasi perniagaan.
“Sektor logistik, pengangkutan, pertanian, pembuatan dan peruncitan telah memberi amaran bahawa kenaikan kos input ini sukar ditampung.
“Banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi dengan margin tipis berkemungkinan terpaksa menaikkan harga barang dan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan risiko inflasi kos,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sehubungan itu, beliau menegaskan PN menuntut penjelasan menyeluruh daripada kerajaan, khususnya mengenai unjuran harga diesel bagi beberapa bulan akan datang serta sama ada paras RM6.02 seliter merupakan harga siling atau akan terus mengalami pelarasan.
Tambahnya, kerajaan juga perlu memperincikan impak sebenar kenaikan tarif elektrik terhadap inflasi dan sektor perniagaan, selain membentangkan langkah segera dan konkrit bagi melindungi golongan sasar daripada tekanan kos sara hidup.
Dalam pada itu, PN mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan cukai durian runtuh atau cukai tenaga sementara ke atas industri minyak dan gas, memandangkan syarikat seperti Petronas terus mencatat keuntungan tinggi susulan harga tenaga global dan eksport LNG.
Menurutnya, hasil daripada cukai tersebut boleh dimanfaatkan bagi menampung subsidi, pelepasan cukai serta insentif kos demi melindungi ekonomi secara keseluruhan.
Mengulas jurang harga domestik, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap perbezaan ketara harga diesel antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang kekal pada RM2.15 seliter, sekali gus menimbulkan persepsi ketidakseimbangan beban kos.
Malah, katanya, harga diesel di Malaysia kini berisiko menjadi antara yang tertinggi di rantau ini walaupun negara merupakan pengeluar minyak dan gas.
Beliau turut merujuk perbandingan harga setakat 1 April lalu, dengan Thailand pada RM4.99 seliter, Vietnam RM5.40 seliter dan China RM4.80 seliter. Di Indonesia pula, harga diesel bagi kegunaan peribadi adalah sekitar RM1.60 seliter manakala sektor komersial RM3.37 seliter.
Justeru, PN mendesak kerajaan mewujudkan mekanisme penstabilan harga termasuk penetapan harga siling atau penampan bagi mengelakkan kenaikan mendadak.
Tambah beliau, ketelusan dalam aspek kadar pertukaran, kos, margin serta komponen fiskal dalam penentuan harga akhir adalah penting bagi meningkatkan keyakinan awam serta menstabilkan sentimen pasaran.