KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta kepada semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bagi memperkukuh kemudahan dan infrastruktur sekolah-sekolah berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tambahan tersebut adalah susulan kepada peruntukan RM80 juta yang telah diluluskan sebelum ini, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan kini sebanyak RM100 juta.
Katanya, tambahan RM20 juta itu akan disalurkan berdasarkan keperluan semasa, termasuk kerja-kerja pembaikan bagi persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
"Pada hari ini, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengumumkan bahawa semua SJKC akan menerima tambahan peruntukan jika terdapat keperluan, sama ada melibatkan kemudahan asas atau keperluan lain.
"Selain RM80 juta yang telah diluluskan sebelum ini, sebagai tanda penghormatan dan menghargai rakan-rakan serta sahabat handai masyarakat Cina, saya mengumumkan tambahan sebanyak RM20 juta lagi," katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih MADANI Parlimen Tambun sempena Tahun Baharu Cina dan Ihya' Ramadan di Ipoh pada Sabtu.
Perdana Menteri menambah sebelum ini kerajaan telah mengumumkan peruntukan besar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan dan sekolah-sekolah kerajaan bagi tujuan menaik taraf kemudahan serta keperluan tambahan, termasuk tambahan RM800 juta.