KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong akan mengadakan lawatan khas ke Malaysia pada Jumaat (20 Feb), dan dijadualkan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dua hala serta isu-isu berkepentingan bersama, termasuk hasil Pemukiman Pemimpin yang berlangsung pada 4 Dis 2025.
Singapura merupakan jiran serta rakan utama Malaysia dalam ASEAN, dengan hubungan yang erat dan meluas dalam pelbagai bidang.
Singapura juga adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM402.35 bilion (US$93.97 bilion) bagi tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 1.5 peratus berbanding 2024.
-- BERNAMA