KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.525 juta kepada lima sekolah pondok dan pusat tahfiz di Sabah bagi menaik taraf infrastruktur serta memperkenalkan pendidikan digital termasuk kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata langkah itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasakan institusi pendidikan Islam tradisional agar selari dengan perkembangan semasa tanpa menjejaskan tradisi pengajian pondok.
Lima institusi yang menerima peruntukan itu ialah Pondok Pesantren Nurul Ihsan dan Pondok Miftahussalam di Sandakan; Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Babussalam dan Pondok Al-Hasyimi di Kudat; serta Pondok Fii Dzilalil Quran di Kota Belud.
“Institusi pondok dan tahfiz perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dunia termasuk kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI di Universiti Malaysia Sabah, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Anwar berkata kerajaan tidak akan campur tangan dalam kurikulum tradisional yang diajar di institusi pondok dan tahfiz, namun mencadangkan supaya semua institusi pendidikan termasuk sekolah agama memastikan pelajar menguasai bahasa Melayu serta memahami sejarah negara.
“Keadaan berubah, dunia sekarang melihat benteng pertahanan itu boleh ditembusi kerana rapuh, kerana kekuatan baharu itu transformasi digital, kecerdasan buatan dan kita kalah dari segi itu.
“Jadi saya bersyukurlah, alhamdulillah kerana pondok-pondok yang kita jemput setuju, jalankan kurikulum mereka ada sekarang, kita tidak campur, kita cuma tambah bahasa, tambah sejarah dan tambah pendidikan digital dan kecerdasan buatan,” kata beliau.
Anwar berkata pada 2003 kerajaan ketika itu menghentikan semua bantuan kepada sekolah agama rakyat, namun pentadbiran beliau kini mengambil langkah untuk memulakan semula sokongan kepada institusi berkenaan selepas meneliti keperluan serta peranan pentingnya dalam pendidikan masyarakat.
“Di negara kita ini anak-anak di maahad tahfiz sekolah agama rakyat ini dah mencecah lebih 400,000 mungkin setengah juta dan sejak 2003 keputusan kerajaan masa itu ialah menghentikan semua bantuan kepada sekolah-sekolah rakyat.
“Saya bincang dengan rakan-rakan saya dan merasakan keputusan itu tidak bijak. Kalau kita rasa ada kekurangan kita cuba perbaiki tapi dengar masalah mereka,” kata beliau
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan kepentingan memastikan pembangunan negara memberikan manfaat langsung kepada rakyat pada peringkat akar umbi termasuk melalui penyediaan kemudahan asas yang lebih baik.
Beliau berkata kemudahan seperti restoran kecil, gerai dan warung yang menjadi tumpuan majoriti rakyat juga perlu diberi perhatian dalam perancangan pembangunan
“Saya minta diperhatikan kemudahan asas dimanfaatkan majoriti rakyat. Umpamanya restoran kecil, gerai, warung menarik pelanggan kira-kira 85 peratus tetapi kadang-kadang dalam perancangan pelan pembangunan itu dianggap ketinggalan, sebab itu kedudukan dan tahap gerai dan warung itu paling daif,” kata beliau.
-- BERNAMA