CHERAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata soal isu ekonomi negara ketika ini lebih mustahak untuk diberi perhatian berbanding hal dalaman politik.
Beliau yang juga Presiden PKR memberikan reaksi sedemikian ketika ditanya media mengenai gesaan beberapa pimpinan parti supaya tindakan diambil terhadap bekas timbalannya, Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Tidak mengapa… kita minta semua bertenang dan fokus kepada cabaran ekonomi negara yang jauh lebih penting daripada isu peribadi,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurussaadah, di sini, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR termasuk Ahli Majlis Pimpinan Pusat, A Kumaresan, menggesa tindakan diambil terhadap Rafizi kerana didakwa menjejaskan kekuatan parti.
Terdahulu, Rafizi turut mencabar kepimpinan PKR untuk memecatnya susulan kenyataannya mengkritik parti yang menjadi antara isu diketengahkan dalam surat tunjuk sebab diterima beliau pada Khamis.
Rafizi dilaporkan lantang mengkritik kerajaan dan PKR selepas beliau tidak lagi memegang jawatan Timbalan Presiden dalam parti berkenaan serta meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi pada Mei tahun lalu.