KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Tahun 2026 Peringkat Negeri Sabah hari ini.
Majlis itu berlangsung di Kompleks Dewan Kuliah Pusat ke-2, Universiti Malaysia Sabah dan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, akan menyampaikan amanat serta menunaikan solat maghrib secara berjemaah.
Majlis Berbuka Puasa MADANI itu antara program bersempena dengan lawatan beliau ke Sabah hari ini.
Anwar akan memulakan lawatan dengan menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Suria Sabah pada 12 tengah hari.
Seterusnya pada 2.30 petang, Perdana Menteri dijangka hadir ke program Mini Konvensyen Keadilan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Peringkat Negeri Sabah di Hotel Klagan.
Pada sebelah petang, beliau dijadual meluangkan masa mengadakan tinjauan mesra di Bazar Ramadan University Apartment, Sepanggar pada 4.55 petang sebelum mengakhiri lawatan dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama-sama rakyat Sabah.
-- BERNAMA