Skip to main content

Malaysia

PM Australia Albanese lawat Malaysia pada 15-17 April, fokus kepada keselamatan tenaga

61744940830_tbAnthonyAlbanese.jpg
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dijadualkan melawat Malaysia dari 15 hingga 17 April, yang menjadi antara usaha Malaysia untuk menguruskan risiko keselamatan tenaga dalam tempoh ketidaktentuan global yang berterusan, termasuk konflik di Asia Barat dan gangguan yang menjejaskan penghantaran melalui Selat Hormuz. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dijadualkan melawat Malaysia dari 15 hingga 17 April, yang menjadi antara usaha Malaysia untuk menguruskan risiko keselamatan tenaga dalam tempoh ketidaktentuan global yang berterusan, termasuk konflik di Asia Barat dan gangguan yang menjejaskan penghantaran melalui Selat Hormuz.

Menurut Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, melalui kerjasama yang erat dengan Australia, Malaysia sedang berusaha untuk memastikan akses yang berterusan ke atas sumber kritikal, terutama gas asli cecair (LNG), yang diperlukan untuk penjanaan elektrik dan aktiviti perindustrian.

"Pada masa sama, lawatan berkenaan menghasilkan manfaat yang nyata dalam bidang keselamatan makanan, pelaburan dan teknologi, yang kesemuanya menyumbang kepada pendedahan yang berkurangan terhadap kejutan luaran dan menyokong daya tahan ekonomi.

"Langkah ini mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI dalam menggabungkan hala tuju dasar yang jelas dengan penyampaian yang ketara apabila kerjasama antarabangsa diteruskan atas dasar situasi yang saling menguntungkan untuk memastikan manfaat sebenar kepada rakyat," katanya.

Wisma Putra memaklumkan Selat Hormuz kekal sebagai laluan transit global yang kritikal, yang membawa kira-kira 20 peratus daripada penghantaran minyak global.

Menurut anggaran Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada awal April 2026, gangguan kepada laluan ini boleh menjejaskan hampir 40 peratus daripada import minyak mentah Malaysia sekali gus menunjukkan pendedahan Malaysia kepada risiko kejutan bekalan dari luar negara.

Kementerian itu memaklumkan ketidaktentuan pasaran tenaga global telah menjejaskan pelbagai ekonomi termasuk Australia, yang telah melaksanakan antaranya pelepasan rizab bahan api strategik bagi menguruskan tekanan bekalan.

Sehubungan itu, lawatan berkenaan memberi tumpuan untuk mengukuhkan kerjasama praktikal antara Malaysia dan Australia bagi mengekalkan aliran tenaga yang stabil dan boleh dipercayai, katanya.

 “Hubungan dua hala ini disokong oleh sistem saling kebergantungan tenaga yang telah sedia ada, apabila Malaysia membekalkan bahan api bertapis kepada Australia dan pada masa sama bergantung kepada Australia bagi sebahagian besar import LNG.

“Berdasarkan situasi pada masa ini, mengekalkan aliran tenaga sedia ada ini adalah penting untuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga domestik Malaysia, terutama bagi penjanaan elektrik dan kegunaan industri,” menurutnya.

Menurut Wisma Putra, antara hasil penting daripada lawatan rasmi itu adalah Kenyataan Bersama mengenai Keselamatan Tenaga yang dijangka mengesahkan secara rasmi komitmen kedua-dua negara untuk mengekalkan aliran perdagangan tenaga yang terbuka dan diyakini, terutamanya ketika berlaku gangguan geopolitik.

“Walaupun bukan instrumen yang sah di sisi undang-undang, kenyataan bersama itu memberikan rangka kerja penting untuk penyelarasan dan penjajaran dasar.

“Langkah ini sekali gus mengukuhkan hasrat kedua-dua negara untuk mengelakkan gangguan terhadap rantaian bekalan kritikal,” katanya.

Selain itu, turut akan diadakan adalah pertukaran memorandum persefahaman (MoU) mengenai Perkongsian Starategik Daging Merah Halal (SHRP) antara kedua-dua negara, perjanjian antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia (DAFF) untuk memperkemas proses audit dan meningkatkan akses kepada daging halal.

“Lawatan berkenaan juga meningkatkan kerjasama dalam keselamatan makanan, pelaburan dan pemindahan teknologi, dengan hasil yang bertujuan menyokong daya tahan ekonomi domestik Malaysia dalam tempoh ketidaktentuan global yang berterusan,” katanya.

Albanese dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada petang esok (15 April).

Beliau akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada Khamis, diikuti dengan pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijadualkan menyaksikan pertukaran MoU mengenai SHRP.

Albanese kemudiannya menghadiri jamuan makan tengah hari di Kompleks Seri Perdana.

Australia adalah rakan ekonomi yang penting bagi Malaysia dengan berada pada kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar Malaysia pada 2025, merekodkan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM78.63 bilion (US$18.38 bilion).

Selain jumlah perdagangan, kerjasama ini juga dibuktikan dengan tahap saling kebergantungan yang tinggi dalam sektor tenaga.

Berdasarkan data dua hala 2025, Australia membekalkan kira-kira 96 ​​peratus daripada import LNG Malaysia, yang berperanan penting untuk menyokong rangkaian gas di Semenanjung Malaysia serta pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Pada masa sama, Malaysia adalah pembekal utama bahan api kepada Australia, merangkumi kira-kira 17 peratus daripada jumlah import bahan api Australia. Aliran perdagangan ini adalah rantaian bekalan komersial yang telah kukuh dan bukannya dibuat secara sementara.

 -- BERNAMA

    

Must Watch Video