Skip to main content

Malaysia

PM Anwar junjung kasih titah Sultan Kedah, kembalikan keistimewaan Pulau Langkawi

CYBERJAYA, 17 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
ANWAR: Kita (kerajaan persekutuan) sedia teliti dan saya menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Kedah, malah ini adalah salah satu senarai telah dibincangkan. -Foto Bernama

CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, yang menyarankan agar keistimewaan Pulau Langkawi sebagai zon bebas cukai sepenuhnya dikembalikan.

Beliau berkata kerajaan persekutuan bersedia memberikan perhatian sewajarnya terhadap titah Baginda bagi merancakkan semula sektor pelancongan di pulau legenda itu yang kini dilihat agak malap.

“Kita (kerajaan persekutuan) sedia teliti dan saya menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Kedah, malah ini adalah salah satu senarai telah dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jabatan Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, hari ini.

Susulan itu, Anwar memaklumkan telah mengarahkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, untuk melakukan penelitian menyeluruh bagi mengenal pasti langkah terbaik yang boleh dilaksanakan demi menjana semula ekonomi di Langkawi.

"Saya sudah minta Menteri Kewangan II melihat keseluruhannya bagaimana ia boleh menjana semula kerana kos di Langkawi itu agak tinggi dan dengan sendirinya tidak dapat menarik pelancong dari dalam negeri," katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat, di sini, hari ini.

Terdahulu pada Isnin, Sultan Sallehuddin semasa merasmikan Pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah menitahkan agar kerajaan mempertimbangkan semula status bebas cukai penuh di Langkawi.

Baginda menyuarakan kebimbangan terhadap pengurangan beberapa keistimewaan sebelum ini, termasuk pelaksanaan cukai terhadap kenderaan dan produk berasaskan tembakau yang telah menjejaskan daya tarikan pulau tersebut.

Baginda turut menekankan kepentingan penyediaan infrastruktur yang mencukupi, aksesibiliti yang lebih baik, serta kemudahan jeti yang efisien bagi menyokong kepesatan pembangunan pelancongan di Langkawi. 

Must Watch Video