KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri Majlis Sambutan Hari Gawai Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang akan berlangsung di sini pada 21 Jun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan menjadi tetamu kehormat pada majlis berkenaan, yang turut dijangka dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
"Kita akan mengadakan (perarakan) Niti Daun di Kuching pada 20 Jun dan pada 21 Jun pula acara kemuncak sambutan Hari Gawai peringkat negeri iaitu majlis makan malam dengan kehadiran tetamu kenamaan yang dijangka hadir," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2026 di Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di sini hari ini.
Uggah berkata Hari Gawai Dayak terus menjadi platform penting untuk mempamerkan budaya, tradisi dan warisan masyarakat Dayak kepada rakyat pelbagai kaum.
"Tradisi 'ngabang' (kunjung mengunjung) yang diamalkan masyarakat Sarawak menjadi lambang perpaduan apabila setiap perayaan diraikan bersama tanpa mengira kaum dan agama," katanya.
Pada masa sama, Uggah menyifatkan sambutan Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak yang diadakan hari ini sebagai menggalakkan dengan kehadiran pengunjung dipercayai melebihi sasaran awal sebanyak 2,000 orang.
-- BERNAMA