Skip to main content

Politik

PRN Johor: Pengundi berhak pilih tanpa tekanan - Noor Azleen

Sumber: Noor Azleen Ambros
Noor Azleen (foto) berkata cubaan menakut-nakutkan pengundi dengan dakwaan sedemikian adalah tidak matang dan tidak bertanggungjawab. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Rakyat Johor berhak membuat pilihan politik secara bebas tanpa dipengaruhi dakwaan negeri itu akan dipinggirkan dari segi pembangunan sekiranya memilih parti tertentu dalam pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Pemuda UMNO Johor Noor Azleen Ambros berkata cubaan menakut-nakutkan pengundi dengan naratif sedemikian adalah tidak matang dan tidak bertanggungjawab.

Menurut beliau, PRN merupakan proses demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat menentukan parti yang sesuai mentadbir serta memacu pembangunan negeri.

“Rakyat Johor berhak membuat pilihan tanpa diugut dengan kehilangan pembangunan atau peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Johor Aminolhuda Hassan berhubung implikasi politik sekiranya berlaku perubahan pentadbiran negeri.

Noor Azleen turut menegaskan bahawa pembangunan tidak seharusnya dijadikan alat politik bagi mempengaruhi keputusan pengundi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar menghormati kematangan rakyat dalam membuat pilihan.

Katanya, pengundi kini semakin bijak menilai prestasi serta tawaran dasar parti yang bertanding.

Sehubungan itu, beliau berharap kempen PRN dapat berlangsung secara sihat dengan memberi tumpuan kepada dasar dan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

 

Must Watch Video

Advertisement