Skip to main content

Malaysia

PM Anwar arah JPA sedia laluan kenaikan pangkat kepada penjawat awam Gred 1

41680597117_penjawatawam.jpg
Perdana Menteri berkata, laluan kenaikan pangkat itu dirangka dengan syarat lebih munasabah, antaranya berdasarkan tempoh perkhidmatan yang layak serta penyertaan dalam kursus khas bagi meningkatkan kemahiran. - Gambar fail

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memperkemaskan laluan kenaikan pangkat melibatkan kira-kira 125,000 pembantu tadbir perkeranian dan kewangan dalam perkhidmatan awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diminta menyediakan mekanisme kenaikan gred yang lebih jelas dan tersusun bagi kumpulan berkenaan.

Menurut beliau, cadangan itu antara lain membolehkan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 ke Gred 5, bagi menambah baik peluang kemajuan kerjaya kumpulan terbabit.

“Kita bersetuju bahawa kategori penjawat awam di peringkat paling rendah perlu diberikan perhatian supaya kedudukan mereka dapat ditingkatkan sedikit.

“Ini sekali gus memastikan kebajikan kumpulan pelaksana terus terpelihara,” katanya ketika berucap dalam program bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, pada Isnin.

Jelasnya, laluan kenaikan pangkat itu dirangka dengan syarat lebih munasabah, antaranya berdasarkan tempoh perkhidmatan yang layak serta penyertaan dalam kursus khas bagi meningkatkan kemahiran.

Beliau menambah, kursus tersebut dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu dan bertujuan memberi pendedahan tambahan, termasuk dalam bidang teknologi maklumat (IT) serta peningkatan kecekapan kerja.

Perdana Menteri berkata, cadangan itu kini sedang dimuktamadkan oleh JPA.

“Jika dilaksanakan seperti dirancang, kira-kira 125,000 kakitangan dalam kategori berkenaan akan mengikuti kursus tersebut dalam tempoh enam bulan, sebelum kenaikan pangkat dapat dibuat selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun depan,” ujarnya.

Must Watch Video