KUALA LUMPUR: Tujuh ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) yang menang dalam pemilihan lalu mengumumkan peletakan jawatan susulan hilang kepercayaan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pimpinan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Pengerusi MKM, Ram Erfan Zur Nuqman berkata, PKR kini bukan lagi parti reformasi yang diyakini oleh anak muda seperti sebelum ini.
"Parti yang dahulu melaungkan perjuangan melawan salah guna kuasa, ketelusan dan kebebasan institusi kini dilihat semakin jauh daripada prinsip tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, antara sebab utama hilangnya kepercayaan terhadap kepimpinan PKR ialah kegagalan parti menyatakan pendirian jelas berhubung isu 'Mafia Korporat' yang didakwa mencemari integriti institusi penguatkuasaan undang-undang seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mereka turut mendakwa, PKR gagal menanggapi secara serius dakwaan membabitkan seorang Ahli Parlimen PKR yang dikatakan menerima wang berjumlah RM9.5 juta daripada ahli perniagaan, Victor Chin sebagai upah menyelesaikan isu berkaitan 'Mafia Korporat'.
Selain itu, mereka juga mendakwa PKR gagal menyatakan pendirian mengenai laporan siasatan terhadap pemilikan saham Tan Sri Azam Baki yang sehingga kini belum didedahkan kepada umum.
Kenyataan itu turut menyebut kegagalan PKR mempertahankan semangat reformasi institusi apabila parti tersebut didakwa terus berdiam diri terhadap penggunaan Akta Hasutan bagi menyekat suara pengkritik kerajaan.
MKM juga mendakwa PKR gagal menyatakan pendirian terhadap isu kebebasan media susulan gangguan terhadap wartawan Malaysiakini yang melaporkan isu berkepentingan awam berkaitan Sistem Pengambilan Pekerja Asing.
Selain itu, mereka turut mempersoalkan pengendalian pertikaian pemilihan parti yang didakwa mencemarkan keyakinan terhadap integriti demokrasi dalaman PKR.
"Kami menolak budaya mempertahankan parti secara membuta tuli ketika prinsip perjuangan semakin ditinggalkan," ujar kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, mereka menegaskan perjuangan untuk meningkatkan kesedaran politik rakyat, khususnya golongan muda, akan diteruskan melalui platform bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik.
Dalam pada itu, kenyataan juga menyebut bahawa Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia terbubar secara rasmi dan pemilihan yang baharu perlu dilaksanakan melalui Mesyuarat Agung Khas MKM.
"Selaras dengan Fasal 13.3 Perlembagaan Mahasiswa Keadilan Malaysia, apabila lebih daripada satu pertiga Ahli Majlis Pimpinan Pusat meletakkan jawatan, maka Majlis Pimpinan Pusat MKM adalah terbubar dengan sendirinya," jelas kenyataan itu.
Kesemua mereka yang meletak jawatan menegaskan perjuangan untuk meningkatkan kesedaran politik rakyat, khususnya golongan muda, akan diteruskan melalui platform bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik
Tujuh ahli MPP MKM yang meletakkan jawatan ialah Ram Erfan Zur Nuqman selaku Pengerusi, Paarveen Ravindran (Timbalan Pengerusi), Ismail Hakim (Naib Pengerusi 2), Saw Zi Xuan (Naib Pengerusi 3), Khairunnabiha Baharin (Setiausaha Kerja 2), Mohd Luqman Hakim Mohd Kamal (Ketua Penerangan) dan Muhammad Danish Fitri Mohd Radzi (Ketua Biro Seni, Budaya dan Sukan).