GEORGE TOWN: Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Isnin meminta Pulau Pinang mengambil peluang susulan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global untuk memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab pelaburan, pelancongan serta rantaian bekalan serantau.
Wong Yuee Harng (PH-Pengkalan Kota) berkata, konflik di Asia Barat dan perubahan landskap geopolitik dunia membuka ruang kepada Pulau Pinang untuk menarik lebih banyak acara antarabangsa, pelaburan serta aliran modal global.
Beliau berkata, rantau Asia Pasifik termasuk Pulau Mutiara berada dalam kedudukan strategik apabila banyak acara antarabangsa mencari lokasi baharu yang lebih stabil dan selamat dari segi geopolitik.
“Sektor pelancongan perniagaan dan industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) merupakan pemacu ekonomi signifikan kepada negeri,” katanya ketika membahas usul terima kasih atas ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.
Wong turut menyokong cadangan penubuhan hab kewangan khas antarabangsa dan berkata Pulau Pinang memiliki kelebihan dari segi lokasi strategik, tenaga kerja berkemahiran tinggi serta rekod sebagai pusat pembuatan dan teknologi.
Sementara itu, Ong Ah Teong (PH-Batu Lanchang) mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak memandang ringan fenomena involution atau persaingan melampau susulan kemasukan agresif rantaian perniagaan asing khususnya dari China yang disifatkan boleh menjejaskan ekosistem perniagaan tempatan.
Beliau berkata, lambakan produk murah dan persaingan harga sengit berpotensi memberi tekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana, peniaga makanan serta minuman selain penjaja tempatan.
Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) pula berkata, ekonomi Pulau Pinang yang banyak dipacu sektor pembuatan dan perkhidmatan masih sangat bergantung kepada pasaran luar, eksport serta pelaburan syarikat multinasional.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Penang Economic Outlook 2026 oleh Penang Institute, sektor pembuatan menyumbang 46.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negeri manakala perkhidmatan sebanyak 48.1.
“Pulau Pinang memerlukan sektor ekonomi domestik yang lebih seimbang dan lestari termasuk memperkukuh sektor pelancongan komuniti, ekopelancongan serta agropelancongan khususnya di kawasan Seberang Perai," katanya.
Muhammad Fauzi juga berkata, pembangunan pelancongan ketika ini masih tertumpu di kawasan pulau seperti George Town, Bukit Bendera dan Batu Ferringhi sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas serta kepadatan pelancong.
Persidangan DUN bersambung hari ini.
-- BERNAMA