KUALA LUMPUR: PKR menegaskan kemunculan parti politik baharu termasuk Parti Bersama Malaysia (Bersama) tidak menjejaskan kekuatan serta pengaruh PKR sebagai antara tunjang utama dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Ketua Penerangannya Datuk Fahmi Fadzil berkata, keyakinan tersebut didorong sokongan berterusan rakyat terhadap perjuangan reformasi parti selain peningkatan keanggotaan PKR yang terus berlaku secara konsisten.
“Bagi PKR sendiri, dengan keanggotaan melebihi satu juta rakyat Malaysia, kita lihat dalam tempoh April hingga Mei sahaja, tanpa sebarang program besar atau promosi, kemasukan ahli baharu secara organik melebihi 5,000 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai di Pustaka Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, situasi itu menunjukkan masyarakat masih mempunyai keyakinan terhadap perjuangan PKR dalam memastikan kestabilan politik dan kebajikan rakyat terus terbela.
“PKR bukan sahaja mahu meneruskan agenda reformasi, malah memastikan harapan rakyat dapat dicapai melalui pentadbiran Kerajaan Perpaduan sedia ada,” katanya sewaktu mengulas dakwaan bahawa Bersama telah menerima kira-kira 18,000 permohonan keahlian baru-baru ini.
Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa jumlah itu dicatatkan sejak beliau mengambil alih parti itu seminggu lalu.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, hampir separuh daripada permohonan tersebut atau 46 peratus daripadanya datang daripada individu yang tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.
Dalam pada itu, Fahmi ketika ditanya mengenai kehadiran enam Ahli Parlimen PKR ketika pelancaran Bersama, baru-baru ini, enggan mengulas lanjut.
“Setakat ini tiada perkembangan baharu kemungkinan tindakan terhadap Ahli Parlimen terbabit yang menghadiri majlis pelancaran tersebut,” katanya.