KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1996 dijangka dibentangkan di Parlimen seawal Jun ini bagi memastikan agensi itu terus relevan serta ditadbir urus dengan lebih berkesan.
Pengerusi MARA Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata draf pindaan akta berkenaan sudah siap dan kini berada dalam fasa sesi libat urus bersama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta Bahagian Hal Ehwal Undang-IUndang bagi mendapatkan pandangan menyeluruh.
Beliau berkata pindaan itu merangkumi pemodenan kerangka pengurusan, pengukuhan fungsi strategik organisasi serta penyesuaian semula mandat MARA selaras dengan cabaran ekonomi semasa dan masa hadapan.
“Antara fokus utama ialah memastikantahap ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi dalam pengurusan institusi, apatah lagi keperluan pindaan akta ini menjadi xsemakin mendesak selepas lebih enam dekad,” katanya pada sidang media tahunan MARA bersama pengamal media, di sini pada Selasa.
Asyraf Wajdi berkata tiada halangan dari sudut perundangan bagi seseorang individu menganggotai beberapa jawatankuasa yang diluluskan lembaga pengarah, namun dari segi tadbir urus dan etika, keadaan itu boleh menimbulkan konflik kepentingan.
“Sebagai contoh ,individu yang berada dalam Jawatankuasa Pelaburan tidak wajar menganggotai Jawatankuasa Audit. Perkara seperti ini tidak dibincangkan secara meluas pada era 1960-an dan 1970-an,” katanya.
Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut terlibat dalam libat urus dalaman memandangkan akta itu berada di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.
Selain itu, Asyraf Wajdi berkata cadangan penubuhan Jawatankuasa Penasihat Syariah merupakan antara elemen penting dalam pindaan tersebut.
“Ini kerana MARA menguruskan dana awam, khususnya membabitkan bumiputera yang mengharapkan setiap aspek operasi mematuhi prinsip syariah. Ia bukan sahaja dari segi instrumen kewangan, tetapi juga membabitkan keseluruhan operasi dan pengurusan,” katanya.
-- BERNAMA