Skip to main content

Malaysia

Enrique of Malacca Shipyard pemangkin ekonomi maritim baharu di Melaka

Ab Rauf Yusoh
Projek yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu akan dibangunkan di kawasan seluas 17.12 hektar dan bakal menjadi limbungan kapal terbesar di Melaka. - Foto BERNAMA

MELAKA: Pembangunan Enrique of Malacca Shipyard, projek strategik bernilai RM180 juta yang dijangka menjana hasil sehingga RM1.8 bilion dalam tempoh 10 tahun, bakal menjadi pemangkin kepada ekosistem ekonomi maritim baharu di Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata projek yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu akan dibangunkan di kawasan seluas 17.12 hektar dan bakal menjadi limbungan kapal terbesar di Melaka, sekali gus mengangkat kedudukan negeri itu sebagai Bandar Maritim Masa Depan.

“Projek ini dijangka menjana lebih 1,500 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang pastinya akan membuka peluang besar kepada anak tempatan untuk terlibat dalam industri berteknologi tinggi tanpa perlu berhijrah ke luar negeri.

“Ia juga akan menjadi magnet baharu kepada pelaburan langsung asing (FDI) serta kemasukan kepakaran antarabangsa ke dalam ekosistem industri negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Enrique of Malacca Shipyard di Klebang di sini pada Selasa.

Ab Rauf berkata projek tersebut turut melibatkan kerjasama strategik antara SM-WEZ Corporation, Henry The Black Shipyard Sdn Bhd dan Desan Shipyard dari Turkiye yang mempunyai pengalaman lebih 47 tahun dalam industri maritim global.

Beliau berkata pembangunan itu merupakan sebahagian daripada pembangunan besar Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) yang merangkumi 3,642 hektar kawasan penambakan merentasi 33 kilometer pesisir pantai.

“Projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal sebaliknya sebahagian daripada strategi besar di bawah SM-WEZ yang memanfaatkan kedudukan strategik Selat Melaka sebagai antara laluan perdagangan tersibuk di dunia.

“Lebih 80,000 kapal melalui laluan ini setiap tahun dan hampir 30 peratus perdagangan global menggunakan laluan berkenaan. Saya percaya projek ini adalah pemangkin kepada ekosistem ekonomi maritim baharu di Melaka,” katanya.

Beliau berkata pembangunan itu akan dilaksanakan berasaskan prinsip Ekonomi Biru bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berjalan seiring dengan kelestarian alam sekitar.

Katanya projek berkenaan tidak memberi impak kepada ekosistem laut kerana kajian Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) telah dilaksanakan lebih awal sebelum kerja-kerja penambakan laut dijalankan.

“Kajian terperinci telah dibuat terlebih dahulu dan kelulusan EIA yang diperoleh membolehkan pembangunan limbungan kapal itu diteruskan mengikut prosedur serta garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video