SHAH ALAM: Pendekatan lebih menyeluruh dan berasaskan data perlu diperkukuh bagi memastikan perancangan mitigasi banjir di Selangor yang lebih tepat serta berdaya tahan, menurut Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S. Piarapakaran.
Beliau berkata analisis data perlu dijadikan asas utama dalam menilai keberkesanan sistem saliran dan projek tebatan banjir, termasuk bagi mengenal pasti corak hujan yang boleh dan tidak boleh diramal.
Piarapakaran berkata tanpa penggunaan data yang tepat dan menyeluruh, reka bentuk sistem saliran tidak dapat disesuaikan dengan perubahan semasa, sekali gus menyebabkan risiko banjir terus berulang walaupun pelbagai projek dilaksanakan.
“Kelemahan utama yang dikenal pasti ialah pendekatan projek tebatan yang tidak mengambil kira keseluruhan sistem aliran air dari hulu ke hilir, menyebabkan penyelesaian di satu kawasan berpotensi meningkatkan risiko di kawasan lain.
“Projek yang hanya fokus kepada satu lokasi mungkin nampak berjaya di situ, tetapi sebenarnya memindahkan masalah ke kawasan hilir,” katanya kepada Bernama.
Piarapakaran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Water and Energy Sustainability (CWES) berkata keadaan menjadi lebih kritikal, apabila pembangunan pesat meningkatkan kawasan berturap dan tidak telap air, sekali gus menambah jumlah air larian permukaan yang melebihi kapasiti sistem saliran sedia ada.
Beliau berkata beberapa kawasan di Selangor, dikenal pasti sebagai kawasan mudah banjir termasuk Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya, yang merupakan penempatan lama dan kini dikelilingi pembangunan baharu serta terletak di kawasan semula jadi berisiko seperti dataran banjir, tanah lembap dan berhampiran muara sungai.
Piarapakaran menjelaskan bahawa sistem saliran lama yang tidak dinaik taraf selari dengan perubahan guna tanah, turut menyumbang kepada ketidakupayaan menampung peningkatan aliran air, khususnya apabila projek di kawasan hulu menyalurkan air terus ke sungai utama.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan langkah segera seperti memastikan sistem perparitan tidak tersumbat, penyelenggaraan kolam tadahan secara berkala, serta pelaksanaan sistem amaran banjir masa nyata bagi mengurangkan impak kepada penduduk.
“Bagi jangka panjang, disarankan perancangan semula pembangunan berasaskan data lembangan sungai, termasuk kawalan lebih ketat terhadap pembangunan di kawasan sensitif serta penyelarasan antara negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam pengurusan aliran air,” katanya.
Piarapakaran turut mencadangkan pendekatan yang digunakan di Belanda, yang memberi penekanan kepada konsep melambatkan aliran air dan memberi ruang kepada sungai sebagai panduan, namun perlu disesuaikan dengan keadaan geografi serta iklim tempatan.
Dalam pada itu, beliau berkata isu pencemaran di Sungai Klang turut memberi kesan langsung terhadap risiko banjir kilat serta mengurangkan potensi sumber air bersih di kawasan sekitar.
“Usaha pemulihan sungai melalui pendekatan pollution reversal boleh dilaksanakan, namun memerlukan perubahan besar daripada segi infrastruktur, dasar dan penguatkuasaan.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menasihatkan kerajaan negeri supaya memberi keutamaan penuh terhadap usaha menangani masalah banjir dengan perancangan rapi dan tindakan segera yang lebih berkesan.
Sultan Sharafuddin turut bertitah bahawa sebelum ini, baginda telah beberapa kali menggesa kerajaan negeri supaya mendapatkan pandangan serta kepakaran daripada pakar antarabangsa, khususnya dari Belanda, bagi merangka pendekatan terbaik dalam mengatasi isu banjir yang berlarutan.
Hari ini, Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata isu banjir di negeri itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh empat tahun lagi, menerusi Projek Mitigasi Banjir Selangor yang sedang disiapkan.
Izham berkata buat masa ini, beberapa kerja mendalamkan sungai di bawah projek itu sedang berjalan dan langkah menyelesaikan banjir memerlukan masa untuk disiapkan.
-- BERNAMA