Skip to main content

Malaysia

Piala Uber: Perjalanan masih jauh bagi skuad negara - Jonassen

HORSENS (Denmark), April 30 -- National singles coaching director Kenneth Jonassen offers words of encouragement to Malaysia women’s singles player Wong Ling Ching during her quarter-final match against China’s Cheng Yu Fei at the BWF Thomas & Uber Cup Finals 2026 at Forum Horsens today.  Wong Ling Ching lost 10-21, 10-21. -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Jonassen dilihat memberi kata-kata sokongan dan galakan kepada Wong Ling Ching ketika bermain menentang Cheng Yu Fei di Forum Horsens, Horsens, Denmark, 30 April 2026. --fotoBERNAMA

HORSENS: Tiada usaha menyembunyikan rasa kecewa susulan tersingkir di peringkat suku akhir, namun bagi Malaysia, mesej lebih besar daripada saingan Piala Uber 2026 di sini ialah perjalanan pasukan negara masih jauh daripada pengakhiran.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen, menegaskan kekalahan 0-3 kepada juara bertahan China di Forum Horsens pada Khamis bukan satu kemunduran, sebaliknya sebahagian daripada proses jangka panjang membabitkan skuad muda yang sedang berkembang.

Menurutnya, meskipun Malaysia berjaya memberi tekanan pada peringkat awal perlawanan, pengalaman dan tahap permainan tinggi China akhirnya menjadi penentu.

“Sudah tentu kami tahu China akan menjadi cabaran besar. Namun saya merasakan khususnya dalam dua perlawanan pertama, kami mampu menggugat mereka sedikit.

“Kami benar-benar memberi saingan yang baik, tetapi tahap permainan dan pengalaman mereka akhirnya membezakan kedua-dua pasukan,” katanya dalam temu bual selepas perlawanan.

Malaysia memulakan saingan suku akhir dengan langkah sukar apabila pemain perseorangan wanita negara, K. Letshanaa yang menghuni ranking ke-33 dunia memberi tentangan sengit sebelum tewas 17-21, 18-21 kepada pemain nombor dua dunia Wang Zhi Yi dalam tempoh 47 minit.

Harapan untuk menyamakan kedudukan hampir tercapai menerusi beregu debut Ong Xin Yee-Carmen Ting yang mempamerkan aksi berani menentang pasangan nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning sebelum tewas 14-21, 21-16, 13-21 dalam pertarungan 79 minit.

China mengesahkan slot separuh akhir menerusi perlawanan ketiga apabila pemain perseorangan kedua mereka Chen Yu Fei yang juga ranking keempat dunia menewaskan Wong Ling Ching 21-10, 21-10 dalam tempoh 36 minit.

Walaupun tersingkir, Jonassen melihat perkembangan positif terutama daripada Letshanaa yang menunjukkan peningkatan konsisten sepanjang kejohanan.

“Saya nampak banyak peluang, saya nampak kematangan bukan sahaja hari ini tetapi sepanjang kejohanan ini… dan saya gembira melihatnya sekali lagi hari ini,” katanya.

Sebelum itu, Letshanaa turut memberikan cabaran sengit kepada pemain nombor tiga dunia Akane Yamaguchi apabila tewas 19-21, 17-21 dalam aksi terakhir Kumpulan B menentang Jepun.

Dalam pada itu, Jonassen turut menekankan kepentingan semangat berpasukan serta memuji peranan ketua pasukan merangkap pemain beregu wanita nombor satu negara M. Thinaah, dalam membimbing skuad muda sepanjang kempen yang berlangsung hingga 3 Mei.

Walaupun kejayaan mara ke suku akhir selepas 16 tahun dianggap pencapaian penting, jurulatih dari Denmark itu menegaskan Malaysia tidak wajar berpuas hati setakat itu sahaja.

“Saya percaya semua pasukan akan merasakan mereka boleh melangkah lebih jauh, tetapi saya tidak nampak sebab kenapa kita tidak boleh berfikir untuk terus memperbaiki diri.

“Seperti yang saya katakan, ia memerlukan kerja keras, komitmen dan kesediaan untuk memperbaiki mentaliti sendiri,” katanya.

Ini merupakan penampilan suku akhir keempat Malaysia dalam sejarah kejohanan selepas edisi 2004, 2008 dan 2010.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video