ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Khamis mengumumkan larangan perjalanan ke atas Iran, Lubnan dan Iraq susulan perkembangan semasa yang berlaku di rantau berkenaan.
Dalam satu kenyataan dimuat naik di platform X, Kementerian Luar UAE memaklumkan, larangan itu dikenakan terhadap semua warganegara negara itu.
“Berdasarkan perkembangan semasa yang berlaku di rantau ini, Kementerian Luar mengumumkan larangan perjalanan kepada warganegara Emiriah Arab Bersatu ke Republik Islam Iran, Republik Lubnan dan Republik Iraq,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menggesa rakyat UAE yang ketika ini berada di negara terbabit supaya meninggalkan kawasan berkenaan dengan serta-merta dan pulang ke tanah air secepat mungkin.
Langkah itu, menurut kenyataan sama, dibuat selaras dengan komitmen kerajaan untuk terus memantau kebajikan warganegaranya di luar negara serta memastikan keselamatan mereka terjamin.