Skip to main content

Dunia

Trump kritik usaha Kongres hadkan kuasa perang Presiden

U.S. President Donald Trump takes questions from the media after signing an executive order in the Oval Office at the White House in Washington, D.C., U.S., April 30, 2026. REUTERS/Jonathan Ernst
Presiden Donald Trump bercakap selepas menandatangani beberapa dokumen perintah eksekutif di Pejabat Oval, White House, Washington, pada Khamis. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Khamis mengkritik usaha Kongres untuk mengehadkan kuasa perangnya, susulan cadangan terbaharu yang bertujuan mengekang penggunaan kuasa ketenteraan ditolak oleh Senat pada petang yang sama.

“Mereka berulang kali membangkitkan isu kuasa perang,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval. 

“Saya sedang merundingkan satu perjanjian dengan Iran,” katanya, sambil menambah, “setiap minggu, malah setiap tiga hari, mereka mengemukakan perkara yang menyatakan perang itu perlu dihentikan.”

Undang-undang pasca Perang Vietnam menetapkan had 60 hari bagi penggunaan kekuatan ketenteraan tanpa kelulusan Kongres. 

Berdasarkan teks undang-undang Resolusi Kuasa Perang (War Powers Resolution), tempoh 60 hari bagi konflik dengan Iran akan mencapai had tersebut pada 1 Mei, namun terdapat kekeliruan dalam kalangan ahli Kongres berhubung tarikh sebenar tamat tempoh itu.

Segelintir penggubal undang-undang berpendapat tempoh 60 hari bermula dari tarikh permusuhan bermula, yang meletakkan tarikh akhir pada 29 April. 

Namun, pihak lain merujuk kepada peruntukan undang-undang yang menyatakan ia dikira 60 hari kalendar dari tarikh White House secara rasmi memaklumkan Kongres, sekali gus menetapkan tarikh akhir pada 1 Mei.

Sementara itu, beberapa ahli Republikan pula berhujah bahawa tempoh gencatan senjata tidak seharusnya dikira dalam jumlah 60 hari tersebut atau mendakwa Presiden mempunyai kuasa untuk melanjutkan tempoh itu secara unilateral sehingga 90 hari. - Agensi

Must Watch Video