KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan kegiatan pengedaran rokok tidak bercukai selepas menahan dua kenderaan yang membawa 260,000 batang rokok bernilai keseluruhan RM508,000 dalam satu serbuan di Pasir Puteh, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata operasi dijalankan pada 7.10 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Batalion 9 PGA menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan.
Beliau berkata pasukan risik mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak menahan dan memeriksa kedua-dua kenderaan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 26 kotak besar di dalam kedua-dua kenderaan yang dipercayai mengandungi rokok tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata dua lelaki tempatan berusia 26 dan 31 tahun turut ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Pemeriksaan lanjut mendapati kotak berkenaan mengandungi 260,000 batang rokok putih jenama “JDB”.
Beliau berkata rokok berkenaan dirampas bersama dua kenderaan, iaitu sebuah Perodua Alza dan Proton Exora, dengan nilai rampasan dianggarkan RM468,000 termasuk cukai, manakala nilai kenderaan dianggarkan RM40,000.
“Siasatan awal mendapati rokok berkenaan dipercayai diperoleh daripada pembekal tertentu sebelum diedarkan secara berperingkat ke pasaran tempatan termasuk Kelantan dan Terengganu.
“Suspek dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ dan menerima upah kira-kira RM200 bagi setiap penghantaran daripada individu lain,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Beliau menegaskan PGA akan terus mempergiat operasi dan pemantauan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta pengedaran rokok tidak bercukai di negeri ini.
-- BERNAMA