Skip to main content

Malaysia

Pesara polis ditahan, ekstasi ditemukan dalam kereta selepas langgar lari

REMBAU – Tindakan seorang pesara polis wanita melarikan diri kira-kira 50 kilometer (km) daripada pemeriksaan polis membawa kepada penemuan pil disyaki dadah jenis ekstasi pada Isnin.
Wanita tersebut dipercayai melanggar sebuah van dipandu lelaki berusia 43 tahun dan sebuah kereta Perodua Viva dipandu lelaki berusia 22 tahun sebelum bertindak melarikan diri. -Foto Sinar Harian

SEREMBAN: Polis menahan seorang pesara polis selepas dipercayai melanggar dua kenderaan sebelum melarikan diri dalam kejadian di Jalan Seremban–Tampin, Rembau menghala ke Bukit Beruang, Ayer Keroh, Melaka, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau DSP Azmi Ali berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada 10.30 malam melibatkan seorang wanita warga emas berumur 65 tahun yang memandu sebuah kereta jenis Honda. 

Wanita tersebut, katanya, dipercayai melanggar sebuah van dipandu lelaki berusia 43 tahun dan sebuah kereta Perodua Viva dipandu lelaki berusia 22 tahun sebelum bertindak melarikan diri.

“Anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau yang sedang menjalankan rondaan cuba memberhentikan kereta tersebut, namun wanita berkenaan enggan memberikan kerjasama. Dia akhirnya berjaya ditahan di Jalan Bukit Beruang, Melaka.

“Pemeriksaan terhadap tubuhnya tidak menemukan apa-apa barang yang menyalahi undang-undang, namun pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan menemukan satu beg berzip coklat mengandungi sepeket plastik lut sinar berisi empat pil disyaki dadah jenis ekstasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azmi berkata ujian saringan air kencing terhadap wanita itu turut mendapati dia positif dadah jenis amphetamine, namun wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan jenayah dan dadah.

Beliau berkata suspek ditahan di IPD Melaka Tengah dan permohonan reman dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pagi tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Rule 10 LN 166/59 kerana kesalahan gagal mengawal kenderaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video