PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa lebih banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara melaksanakan pengurangan kadar sewa premis bagi membantu meringankan beban penjaja dan peniaga kecil yang berdepan peningkatan kos operasi.
Perkara itu ditegaskan beliau ketika mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini, selepas meneliti beberapa cadangan dan inisiatif penting bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi krisis bekalan global.
Anwar berkata, kerajaan MADANI telah memulakan langkah pengurangan kadar sewa premis penjaja dan peniaga kecil menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan pendekatan berteraskan ihsan itu wajar dicontohi oleh PBT lain.
“Pendekatan ihsan ini wajar dicontohi oleh PBT lain di seluruh negara demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan perniagaan kecil dalam keadaan ekonomi dunia yang semakin mencabar,” jelasnya.
Selain itu Perdana Menteri berkata, Mesyuarat MTEN turut membincangkan pelbagai langkah strategik bagi mendepani ketidaktentuan global dan kesan kenaikan kos sara hidup, termasuk pembangunan Dashboard Pemantauan Krisis Bekalan Global serta cadangan penambahbaikan dasar berkaitan bekalan dan harga.
Mengambil kira tekanan krisis global terhadap harga barangan harian, Anwar memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan setiap kementerian menyelaras semula inisiatif, usaha dan bentuk bantuan agar sampai kepada kumpulan sasaran serta memastikan tiada golongan tercicir, khususnya mereka yang miskin dan rentan.