Skip to main content

Malaysia

Bot karam: Empat mayat pendatang tanpa izin ditemukan - APMM

LUMUT, 12 Mei -- Salah seorang dari empat mayat yang ditemukan di perairan Pangkor dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat di Jeti PPM Kampung Acheh hari ini.  Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) insiden bot membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) hari ini berjaya menemukan empat mayat mangsa insiden bot karam di perairan Pangkor, yang memasuki hari kedua operasi pencarian.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Empat mangsa ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua hari ini, selepas sebuah bot dipercayai membawa pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor. - BERNAMA

LUMUT: Empat mangsa ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua hari ini, selepas sebuah bot dipercayai membawa pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor, di sini. 

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata kesemua mayat tersebut ditemui oleh Pasukan Polis Marin (PPM) kira-kira 2 petang tadi.

"Dua bot PPM telah menemukan mayat tersebut dalam keadaan terapung pada kedudukan lebih kurang 13 batu nautika dari Pulau Talang, berhampiran Segari.

"Mayat tiga wanita dan seorang lelaki itu dipercayai telah hanyut dibawa arus ke arah utara iaitu kira-kira 10 batu nautika dari lokasi asal bot tersebut dilaporkan karam," katanya pada sidang media di Jeti PPM Kampung Acheh di sini hari ini.

Beliau berkata penemuan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa bot karam yang ditemui setakat ini 27 orang, selepas 23 daripadanya berjaya diselamatkan pada hari pertama SAR semalam.

Mohamad Shukri berkata bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang, radius pencarian diperluaskan meliputi kawasan seluas 151 batu nautika persegi dari lokasi bot dipercayai karam iaitu kira-kira 8.2 batu nautika barat laut Pulau Pangkor.

"Kita masih mempunyai baki 10 lagi mangsa yang belum ditemukan dan usaha pencarian akan diteruskan dengan sokongan aset daripada PPM serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya.

Beliau berkata kesemua mayat yang ditemui hari ini telah dibawa ke Jeti PPM Kampung Acheh, seterusnya ke Hospital Seri Manjung untuk tindakan lanjut.

Semalam, Maritim Malaysia Perak berjaya menyelamatkan 23 pendatang tanpa izin disyaki warga Indonesia, selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pangkor. 

Mohamad Shukri memaklumkan pihaknya menerima aduan kira-kira 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan, yang menemukan mangsa terapung di laut dan memohon bantuan segera.

Hasil siasatan mendapati jumlah keseluruhan PATI yang berada di atas bot tersebut adalah 37 orang dan kesemua mereka dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke Malaysia, dengan beberapa destinasi termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video