KUALA LUMPUR: Seorang pesara dihukum penjara tujuh hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merakam video bawah skirt seorang peguam wanita di sebuah kedai makan, tiga hari lepas.
Majistret Mahmoodah VM Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Anandhan, 62, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 7 April lepas.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan, jika gagal membayar denda itu.
Anandhan didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 29 tahun dengan maksud untuk mengaibkan kehormatannya di kedai makan di Pusat Bandar Rawang, Gombak pada 5.49 petang pada 7 April.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafiz Aiman Badrisham memohon hukuman berat dengan mengambil kira mangsa mengalami trauma sehingga terpaksa menjalani rawatan psikiatri, sementara peguam V. Kumar yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan.
-- BERNAMA