Skip to main content

Malaysia

Perubahan jadual laluan Putrajaya pada 7 hingga 8 Mac - Rapid Rail

KUALA LUMPUR, 9 Jan -- Rapid KL hari ini melancarkan tren dan bas bertemakan ikon superhero Malaysia; Mechamato sebagai inisiatif terbaru untuk menarik minat generasi muda khususnya kanak-kanak berumur enam (6) hingga 12 tahun, serta golongan Generasi Z terhadap ikon budaya pop tempatan sambil merancakkan penggunaan pengangkutan awam.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Langkah itu diambil bagi mempercepat proses pemulihan infrastruktur yang terjejas supaya operasi perkhidmatan Laluan Putrajaya dapat kembali berjalan seperti biasa dalam tempoh terdekat. - Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Terdapat perubahan pada jadual operasi tren terakhir Laluan Putrajaya pada hari ini dan esok bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih susulan insiden kecurian kabel bekalan kuasa yang menjejaskan operasi perkhidmatan, menurut Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail).

Dalam kenyataan hari ini Rapid Rail memaklumkan, tren terakhir dari Stesen Putrajaya Sentral menghala ke Kwasa Damansara, iaitu pada 11.35 malam ini dan 11.05 malam esok akan ditamatkan di Stesen Metro Prima.

Bagi memastikan perjalanan penumpang dapat diteruskan, perkhidmatan bas percuma akan disediakan dari Stesen Metro Prima ke stesen-stesen seterusnya sehingga ke Stesen Kwasa Damansara dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit.

"Selain itu, penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Kwasa Damansara juga boleh menggunakan Laluan Kajang sebagai laluan alternatif," menurut kenyataan itu. 

Dalam pada itu, Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan tren dari Stesen Kwasa Damansara ke Stesen Putrajaya Sentral kekal beroperasi seperti biasa tanpa sebarang perubahan.

Menurut Rapid Rail, langkah itu diambil bagi mempercepat proses pemulihan infrastruktur yang terjejas supaya operasi perkhidmatan Laluan Putrajaya dapat kembali berjalan seperti biasa dalam tempoh terdekat.

Sejak insiden kecurian kabel dikesan pada 3 Mac lepas, katanya pasukan teknikal Rapid Rail telah digerakkan sepenuhnya untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan infrastruktur yang terjejas bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan dengan selamat dan stabil.

"Bagi mempercepat kerja baik pulih, tempoh kejuruteraan pada waktu malam Sabtu dan Ahad akan dipanjangkan bagi memberikan ruang tambahan kepada pasukan teknikal untuk menjalankan kerja-kerja pemasangan semula kabel, pengujian sistem serta pemeriksaan keselamatan pada infrastruktur yang terlibat," menurut kenyataan itu.

Penumpang dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video