MOSCOW: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) tidak membenarkan syarikat penerbangan Perancis Air France memasuki ruang udaranya susulan kehadiran seorang penumpang dari Republik Demokratik Congo (DRC), yang sedang berdepan penularan wabak Ebola, lapor Sputnik/RIA Novosti pada Khamis memetik penyiar CBS.
Pegawai memaklumkan penerbangan Air France dari Paris ke Detroit terpaksa mendarat di Montreal, Kanada susulan sekatan penerbangan ke AS, menurut laporan itu.
Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS memberitahu CBS, Air France “secara tidak sengaja” membenarkan seorang penumpang menaiki penerbangan yang menuju ke AS.
Bagaimanapun, jabatan itu tidak menjelaskan sama ada penumpang berkenaan ialah warga DRC atau hanya pernah melakukan perjalanan dari negara itu, selain tidak menyatakan sama ada individu terbabit menunjukkan sebarang gejala penyakit.
Seorang penumpang dalam penerbangan itu memberitahu CBS yang mereka tidak dimaklumkan mengenai sebab pesawat mendarat di Kanada, namun selepas pertukaran penerbangan diumumkan, semua kru kabin memakai pelitup muka. Menurut laporan itu, pesawat sama kemudian berlepas dari Montreal ke Detroit.
Minggu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak Ebola di DRC dan Uganda sebagai kecemasan serta ancaman kepada negara lain. Menurut data terkini pihak berkuasa Congo, sebanyak 131 kematian akibat virus itu direkodkan di negara berkenaan.
Wabak Ebola sebelum ini di DRC berakhir pada Oktober 2025.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI