Skip to main content

Malaysia

Setahun di penjara cukup menginsafkan banduan

61662708968_TBpenjara.jpg
Seorang pemuda berusia 30 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Zakir berkata dia sepatutnya menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di Penjara Marang disebabkan kesalahan amang seksual. - Gambar hiasan

MARANG: Pengalaman setahun berada di penjara cukup untuk mengajar seorang banduan supaya insaf dan tidak mengulangi kesilapan sama, sejurus dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) hari ini, sempena Aidiladha.

Seorang pemuda berusia 30 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Zakir berkata dia sepatutnya menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di Penjara Marang disebabkan kesalahan amang seksual.

Anak keempat daripada lima beradik itu bagaimanapun berkata dia tidak menyangka dapat meraikan sambutan Aidiladha kali ini bersama keluarga selepas dibebaskan dua tahun lebih awal kerana berkelakuan baik.

“Saya dimasukkan ke sini (Penjara Marang) pada 14 Mei 2025 kerana kesalahan yang memalukan. Kehidupan dalam penjara memang perit tetapi sangat menginsafkan.

“Setiap hari saya menghitung hari dan berdoa supaya dapat kembali ke pangkuan ibu dan ayah. Alhamdulillah, tak sangka dapat keluar dua tahun lebih cepat… dapat tahu pun baru semalam. Saya anggap ini hadiah paling berharga sepanjang hidup,” katanya ketika ditemui pada PBSL Ihsan MADANI di Penjara Marang di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Penjara Negeri Terengganu Mohamad Jusoh Ismail berkata sebanyak 54 prospek (banduan) dilepaskan melalui PBSL Ihsan MADANI hari ini.

Beliau berkata 50 prospek dibebaskan di bawah program penempatan pekerjaan manakala empat lagi pulang ke pangkuan keluarga.

“Di bawah program penempatan pekerjaan, kami tempatkan prospek di kedai basuh kereta, kedai makan dan kilang membuat makanan.

“Walaupun diletakkan di bawah pengawasan majikan, pegawai parol di setiap stesen parol daerah tetap akan memantau prospek ini bagi memastikan tidak berlaku masalah,” katanya.

Mohamad Jusoh berkata lebih 1,000 prospek telah dibebaskan menerusi PBSL di seluruh Terengganu sejak awal 2025 hingga hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, hanya sekitar 20 prospek kembali ke penjara, sekali gus menunjukkan keberkesanan program berkenaan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement