KUALA LUMPUR: Permohonan untuk mengekalkan kuota 300 liter BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk pengamal media akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata demikian sebagai respons terhadap permohonan Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) agar kuota tersebut dikekalkan bagi memudahkan pergerakan pengamal media.
"Saya akan bawa ke mesyuarat MTEN pada Selasa nanti,'' katanya ketika ditemui media semasa menghadiri program Kempen Kesedaran Kesihatan Awam Universiti Malaya 2026 bertemakan ‘tiga serangkai satu solusi’ di sini hari ini.
Semalam, GKMM dilaporkan memohon kerajaan mempertimbangkan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar bagi mengekalkan kuota 300 liter petrol RON95 sebulan.
Menurut GKMM, permohonan itu dibuat susulan keluhan pengamal media, khususnya di negeri-negeri, yang perlu menempuh perjalanan jauh serta berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari.
Tambahnya, keputusan kerajaan mengehadkan kuota BUDI95 kepada 200 liter sebulan ketika ini mula memberi cabaran besar buat pengamal media dalam menyempurnakan tugasan di lapangan.