Skip to main content

Malaysia

Letupan gas Putra Heights: Penduduk KKSB mahu teruskan saman jika laporan penuh masih gagal dikeluarkan

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB), Mohd Badly Nordin, Putra Heights , laporan siasatan .
Mohd Badly mendakwa, pihaknya yang mewakili penduduk terjejas dalam kejadian itu, sudah menunggu sejak jawatankuasa bebas ditubuhkan pada September tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) menegaskan akan meneruskan tindakan undang-undang sekiranya laporan penuh siasatan insiden letupan saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya masih gagal dikeluarkan selepas tempoh penantian yang berpanjangan.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Penduduk KKSB, Mohd Badly Nordin mendakwa, pihaknya yang mewakili penduduk terjejas dalam kejadian itu, sudah menunggu sejak jawatankuasa bebas ditubuhkan pada September tahun lalu, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang laporan rasmi seperti yang dijanjikan.

Menurut beliau, meskipun satu sesi libat urus pernah diadakan pada awal Oktober, ia disifatkan sebagai pertemuan pertama dan terakhir antara jawatankuasa bebas dan penduduk terlibat.

“Kami memang letakkan harapan tinggi kepada jawatankuasa ini. Tapi setakat ini, selepas sesi itu, tiada lagi pertemuan susulan dengan mangsa di Kampung Kuala Sungai Baru.

“Kalau ikut perbincangan awal, laporan sepatutnya siap dalam tempoh dua bulan. Jadi kalau dari Oktober, sepatutnya Disember sudah ada hasil. Tapi sekarang sudah masuk bulan Mei, masih belum ada apa-apa,” dakwanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Astro AWANI di Kampung Kuala Sungai Baru pada Ahad. 

Pada Sabtu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri telah menghantar laporan semakan siasatan insiden letupan berkenaan yang diperoleh daripada Jawatankuasa Bebas kepada kerajaan Persekutuan, bulan lepas.

Amirudin berkata, langkah itu dilakukan, selepas jawatankuasa berkenaan membentangkan hasil laporan kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, mengulas lanjut, Mohd Badly berkata komuniti kini mula mempertimbangkan langkah seterusnya termasuk tindakan undang-undang, sekiranya laporan tersebut terus tidak didedahkan dalam masa terdekat.

“Kami sebenarnya masih menunggu laporan itu. Kalau masih tiada juga, kita terpaksa ikut apa yang telah dirancang bersama peguam. Mungkin tindakan mahkamah akan diteruskan,” katanya.

Tambah beliau, ketelusan dalam laporan siasatan amat penting bagi memastikan insiden yang berlaku dapat dijelaskan secara menyeluruh, termasuk kemungkinan elemen kecuaian yang sebelum ini tidak diperincikan dalam siasatan awal.

“Kami perlukan satu laporan yang telus dan lengkap. Kalau ada kaitan dengan kecuaian, itu penting untuk kami jadikan asas rujukan seterusnya,” katanya.

Astro AWANI akan mendapatkan kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa yang terlibat mengenai perkembangan isu berkenaan.

 

Must Watch Video