Skip to main content

Malaysia

Penyelia kilang didakwa dera anak rakan sampai mati

Pertuduhan Kes Bayi 9 Bulan Meninggal Dunia Disyaki Mempunyai Unsur Penderaan di Mahkamah Klang
Pertuduhan ke atas Mohd Syahril Nazrul Ruslim dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksan kerana membunuh. - Gambar Astro AWANI/ Shahir Omar

KLANG: Seorang penyelia kilang yang dipercayai rakan kepada bapa seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang maut akibat didera, didakwa di Mahkamah Majistret Klang, di sini pada Jumaat, atas pertuduhan membunuh. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Mohd Syahril Nazrul Ruslim, 37, didakwa membunuh Muhammad Arsya kira-kira jam 3.30 petang di sebuah unit di Vista Indah Apartment, Klang, pada 6 April lalu. 

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan, jika tidak dijatuhi hukuman mati. 

Tertuduh yang kelihatan tenang hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Karthiyayini Ambualagan kemudian menetapkan 6 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen termasuk laporan forensik.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa dibawa ke Zon Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, bayi berkenaan disahkan meninggal dunia selepas usaha rawatan resusitasi awal dijalankan oleh pasukan perubatan.

Hasil bedah siasat yang dijalankan keesokan harinya mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Must Watch Video