Skip to main content

Malaysia

Penunggang motosikal cedera dirempuh ambulan terbabas

41504709939_Ambulan.jpg
Sebuah ambulan yang sedang dalam perjalanan untuk mengambil pesakit  dilanggar sebuah kereta setelah gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat mengakibatkan rempuhan terhadap sekumpulan penunggang motosikal.

Seorang penunggang motosikal dilaporkan cedera akibat rempuhan itu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 pagi di  Jalan Song Ban Kheng,  Bukit Mertajam  ketika  ambulan terbabit yang datang dari arah Pusat Perniagaan Gemilang sedang menuju ke rumah pesakit di  Taman Merak, Simpang Ampat.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika kejadian, ambulan milik  pusat perubatan swasta itu dikatakan tidak  memberhentikan kenderaannya  ketika lampu isyarat berwarna merah.

Namun pada masa yang sama, seorang pemandu kereta yang datang dari arah kiri  tidak memberikan laluan kepada ambulan tersebut  hingga menyebabkan berlaku rempuhan di tengah persimpangan lampu isyarat terbabit.

Nik Ros Azhan berkata, akibat rempuhan itu, ambulan berkenaan  terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar sekumpulan penunggang motosikal yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

Menurut beliau, rempuhan itu menyebabkan  seorang penunggang motosikal cedera manakala pemandu ambulan dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian itu sempat  dirakam oleh salah seorang  pengguna jalanraya  menggunakan kamera papan pemuka.

Kes itu disiasat di bawah Peraturan 17 LN167/59  Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 manakala mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital.

Sehingga jam 5 petang tadi, hanya satu laporan polis diterima daripada seorang penunggang motosikal, manakala pemandu ambulan dan kereta serta seorang lagi penunggang motosikal masih belum membuat laporan berhubung kejadian itu.

Must Watch Video