Skip to main content

Malaysia

Institusi pendidikan perlu percepat pengenalan kursus, disiplin baharu - PM

KOTA TINGGI, 5 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pengelih hari ini._BERNAMA
Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Kolej Vokasional Pengerang di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pengelih hari ini. - Gambar Bernama

PENGERANG: Institusi pendidikan perlu berupaya mempercepat pengenalan kursus dan disiplin baharu bagi menyediakan lebih ramai tenaga kerja mahir serta pakar tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hal ini bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam arus pembangunan khususnya dalam bidang berteknologi tinggi.

Sebagai contoh, Anwar berkata pihak universiti mengambil masa panjang untuk meluluskan sesuatu program baharu yang tidak lagi sesuai dalam keadaan perkembangan pesat teknologi ketika ini.

“Kelewatan sehingga dua tahun untuk memperkenal disiplin baharu boleh menyebabkan negara ketinggalan khususnya dalam bidang teknologi maklumat dan digital yang berubah dengan pantas,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran projek Kolej Vokasional Pengerang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pengelih di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi  dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam pada itu, Anwar berkata institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu dipertingkat dengan bidang serta disiplin baharu selari dengan keperluan industri semasa yang semakin berkembang.

“Setakat ini, ada kejayaan membanggakan (dalam bidang TVET)... pakar-pakar yang jauh lebih baik daripada yang kita perlukan dulu... negara ini harus dipacu lebih segar, tidak boleh ketinggalan di belakang… TVET mesti dibawa terus ke peringkat yang tertinggi,” katanya.

Beliau juga mahu generasi muda menguasai kemahiran dan bidang baharu berkenaan sekali gus dapat  mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing dalam sektor kritikal.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM100 juta bagi projek pembinaan Kolej Vokasional Pengerang yang disifatkan sebagai langkah strategik seiring lokasi Pengerang sebagai hab industri minyak dan gas negara.

Justeru, beliau mahu projek itu disegerakan dan mempunyai jadual pembinaan yang tetap supaya memberi manfaat kepada rakyat dan kawasan Pengerang.

Projek itu, yang dijangka siap pada 2030, melibatkan dua fasa merangkumi pembinaan bangunan baharu, ubah suai dan naik taraf, perolehan perabot serta peralatan.

Kolej Vokasional dengan kapasiti maksimum 360 pelajar itu akan menawarkan kursus yang menyokong ekosistem industri minyak dan gas negara antaranya program Teknologi Kimpalan (Minyak dan Gas), Teknologi Automotif Hibrid dan Kenderaan Elektrik (HEV) serta Teknologi Maklumat (Sistem Keselamatan Siber).

-- BERNAMA

Must Watch Video