Skip to main content

Malaysia

Akta Keharmonian Nasional perlu diperkenal pelihara perpaduan - Lee Lam Thye

61725096476_TBMERDEKATGANU.jpg
Lee berkata keharmonian nasional berkait rapat dengan kestabilan politik, keyakinan pelabur dan kesejahteraan sosial serta penting bagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sederhana dan inklusif. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Satu Akta Keharmonian Nasional perlu diperkenalkan bagi memperkukuh hubungan antara kaum, menggalakkan saling menghormati dan melindungi perpaduan nasional di Malaysia, kata Penasihat Perpaduan Negara Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata dalam sebuah masyarakat yang semakin kompleks dan pelbagai, keharmonian tidak boleh dibiarkan berlaku secara kebetulan tetapi mesti dipupuk melalui prinsip yang jelas, mekanisme yang adil dan sokongan institusi yang kukuh.

Lee berkata struktur masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya sejak sekian lama menjadi kekuatan terbesar negara.

“Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan bahawa salah faham, kenyataan tidak sensitif, provokasi perkauman dan keagamaan serta naratif memecahbelahkan, khususnya yang diperbesarkan melalui media sosial, boleh dengan cepat menghakis kepercayaan antara komuniti.

“Perkembangan ini menekankan keperluan mendesak bagi satu kerangka perundangan komprehensif yang menggalakkan perpaduan sambil mencegah tindakan yang mengancam keharmonian sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata Akta Keharmonian Nasional akan menyediakan garis panduan yang jelas untuk menggalakkan rasa hormat, toleransi dan kewujudan bersama secara aman, di samping menangani tindakan yang mencetuskan kebencian, permusuhan atau diskriminasi tanpa menjejaskan kebebasan bersuara yang sah.

Beliau berkata berbanding memberi tumpuan semata-mata kepada langkah menghukum, akta itu seharusnya menekankan pendamaian, pengantaraan dan pemulihan keadilan kerana banyak pertikaian berpunca daripada salah faham dan bukannya niat jahat.

“Undang-undang khusus akan membolehkan campur tangan awal sebelum pertikaian kecil menjadi ketegangan besar. Pendekatan pencegahan ini amat penting dalam mengekalkan kestabilan nasional jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata akta itu juga akan menggalakkan tingkah laku bertanggungjawab dalam kalangan tokoh awam, pemimpin masyarakat dan pengguna media sosial bagi memastikan wacana awam tidak membangkitkan sensitiviti.

Lee berkata keharmonian nasional berkait rapat dengan kestabilan politik, keyakinan pelabur dan kesejahteraan sosial serta penting bagi kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sederhana dan inklusif.

Beliau turut menekankan kepentingan menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian Nasional bagi memastikan pelaksanaan berkesan akta yang dicadangkan itu.

“Suruhanjaya itu mesti bebas, berwibawa dan inklusif, dengan perwakilan daripada semua komuniti serta pakar dalam bidang undang-undang, sosiologi, hak asasi manusia dan penyelesaian konflik,” katanya sambil menggesa semua pihak berkepentingan menyokong inisiatif itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video